Kilat Boy cipta sejarah baru, impian jadi kenyataan rangkul tali pinggang WBC

Aksi Kilat Boy (kiri) menentang Yuttihchai di Stadium Perpaduan. Foto: UKAS
Advertisement

KUCHING, 12 Mei: Kejayaan merangkul tali pinggang Super Bantamweight Kejohanan Tinju Dunia (WBC) malam tadi adalah sejarah baru saya ciptakan untuk Sarawak, kata Daeloniel McDelon Bong.

“Apa yang saya idamkan sejak bertahun-tahun lepas kini menjadi kenyataan.

“Semestinya kemenangan ini saya dedikasikan untuk Malaysia dan Sarawak khasnya,” katanya ketika ditemui selesai pertarungan 10 pusingan menentang pencabar dari Thailand, Yuttihchai Wannawong di Stadium Perpaduan Petra Jaya malam tadi.

Advertisement

Daeloniel atau terkenal dengan jolokan ‘Kilat Boy’ menumbangkan Yuttihchai di hadapan lebih 4,000 penyokongnya dengan kiraan technical knockout (TKO) pada pusingan ke-5.

‘Kilat Boy’ menggunakan kepantasan tangan dan kelincahannya untuk mengepung Yuttihchai bagi melepaskan tumbukan hingga menyebabkan lawannya tersungkur tiga kali namun enggan mengaku kalah.

Yuttihchai akhirnya akur tewas selepas tidak dapat meneruskan perlawanan pada pusingan kelima memaksa pengadil menghentikan perlawanan untuk kemenangan mutlak milik Kilat Boy.

Hadir memberikan sokongan moral kepada Kilat Boy ialah Menteri Belia, Sukan dan Pembangunan Usahawan Dato Sri Abdul Karim Rahman Hamzah. — DayakDaily

Advertisement