Misteri kehilangan remaja lelaki berakhir apabila ditemui mati lemas

Pasukan SAR mengangkat mayat mangsa yang ditemui mati lemas.

KAPIT, Mac 6: Misteri kehilangan seorang remaja lelaki di Nanga Usun, Baleh dekat sini sejak Ahad lalu akhirnya terjawab selepas dia ditemui mati lemas hari ini.

Mangsa, Nick Hillary Harry, 14, ditemui oleh pasukan mencari dan menyelamat (SAR) kira-kira pukul 3.50 petang.

Pasukan SAR itu terdiri daripada anggota Bomba, Polis, Lembaga Sungai-sungai Sarawak.


Penolong Pengarah Operasi, Jabatan Bomba dan Penyelamat Sarawak, Tiong Ling Hii berkata, jarak mangsa ditemui adalah kira-kira 20 meter dari lokasi dia terjatuh sebelum itu.

Katanya, mayat mangsa kemudian dibawa ke jeti sebelum diserahkan kepada pihak polis untuk tindakan lanjut.

“Operasi tamat sepenuhnya pada pukul 4.15 petang sejurus mayat mangsa dibawa ke hospital untuk dibedah siasat,” katanya ketika dihubungi hari ini.

DayakDaily sebelum ini melaporkan seorang pelajar lelaki Tingkatan Dua dilaporkan hilang dan dikhuatiri lemas selepas tergelincir dari tebing Nanga Usun Baleh dekat sini.

Dalam kejadian kira-kira pukul 10 pagi itu, mangsa dilaporkan tergelincir ketika sedang berada di tebing sungai tersebut.

Sejurus menerima laporan berhubung insiden itu, lima anggota bomba dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Kapit dikerahkan ke lokasi kejadian.

Pencarian awal telah dijalankan, namun mangsa masih gagal dijumpai. — DayakDaily