Khidmat kaunseling untuk mangsa banjir yang trauma

Dato' Sri Rohani Abdul Karim

KUCHING, Feb 7: Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat sudah mengarahkan pegawai kaunseling dari Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) untuk memberikan khidmat kaunseling kepada mangsa banjir di semua pusat pemindahan sementara yang mengalami tekanan emosi ketika menghadapi musibah tersebut.

Menterinya, Datuk Seri Rohani Abdul Karim berkata, khidmat kaunseling penting bagi memberi motivasi serta menaikkan semangat mangsa banjir yang berada dalam keadaan sukar.

Katanya, pegawai kaunseling sentiasa bersedia memberi khidmat nasihat kepada mangsa banjir yang masih tidak dapat menerima kenyataan situasi sukar yang dihadapi sejak banjir melanda di kediaman mereka.


“Khidmat kaunseling penting bagi membantu mangsa-mangsa banjir yang kini berdepan dengan trauma selepas rumah mereka terjejas akibat bencana itu.

“Saya yakin, khidmat dari pegawai kaunseling mampu memberikan sokongan moral kepada mangsa banjir bagi meneruskan rutin harian mereka selepas banjir pulih kelak,” katanya malam tadi.

Rohani menambah, para kaunselor yang dihantar itu bertanggungjawab membantu pasukan penyelamat memujuk mangsa banjir yang enggan berpindah dari kediaman mereka.

Katanya, dalam konteks itu, apabila emosi mangsa banjir tidak tenteram, mereka sudah pasti tidak dapat berfikir dengan rasional sehingga tidak tahu apa yang perlu dilakukan seterusnya.

“Sehubungan itu, saya menasihatkan agar mangsa-mangsa banjir mendapatkan sesi kaunseling segera bagi mengelak gangguan emosi teruk sehingga menjejaskan kehidupan harian,” ujarnya lagi. ā€” DayakDaily