KGBS saran KPM beri autonomi kepada Sarawak untuk selesai isu kekurangan guru

Ahmad Malie
Advertisement

KUCHING, 19 Mei: Kesatuan Guru Bumiputera Sarawak (KGBS) menggesa agar Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) memberi autonomi kepada Kementerian Pendidikan, Sains dan Penyelidikan Teknologi Sarawak (MESTR).

Presiden KGBS Ahmad Malie berkata, MESTR bertanggungjawab terhadap pendidikan di Negeri ini.

KGBS mencadangkan sedemikian setelah mendapati isu kekurangan guru di Sarawak masih dalam keadaan runcing.

Advertisement

“Walaupun KGBS telah difahamkan bahawa tindakan telah diambil oleh KPM, namun ia agak perlahan.

“Sehingga kini, keadaan masih belum dapat diselesaikan dan kini sudah di pertengahan tahun,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Tambah Ahmad, dengan memberikan autonomi serta peruntukan kepada MESTR, KGBS yakin usaha menangani isu kekurangan guru ini akan menjadi lebih mudah.

Katanya, MESTR mempunyai perancangan dan strategi tersendiri dalam menangani isu, khususnya berkaitan dasar 90:10 kerajaan Negeri.

“Demi kepentingan pendidikan di Negeri Sarawak khususnya dan negara amnya, KGBS merayu agar KPM dapat mempertimbangkan cadangan ini dengan sewajarnya,” ujar Ahmad. — DayakDaily

Advertisement