ADUN Meradong kecewa peratusan penduduk Meradong dipanggil mendapatkan vaksin rendah

Datuk Ding Kuong Hiing

KUCHING, 19 Mei: ADUN Meradong Datuk Ding Kuong Hiing kecewa selepas peratusan penduduk Meradong yang mendapatkan suntikan vaksin Covid-19 masih lagi rendah.

Memetik laporan Unit Komunikasi Awam Sarawak (Ukas), Ding berkata, majoriti penerima yang hadir semasa Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan Fasa Kedua di Bintangor semalam adalah mereka yang datang dari luar daerah Meradong.

“Selain itu, masalah juga timbul selepas 85 orang penerima tidak hadir semasa program dan temu janji terpaksa disusun semula,” katanya.


Bagi Bahagian Sarikei, jelas beliau, jumlah pendaftaran untuk penerima di daerah Meradong adalah lebih tinggi iaitu sekitar 91 peratus dengan 9,000 mendaftar melalui applikasi MySejahtera manakala 9,000 lagi secara manual.

Justeru, Ding telah mengemukakan masalah itu kepada pihak bertanggungjawab dan berharap semasa program yang sama pada 22 Mei hingga 25 Mei 2021, jumlah penduduk Meradong yang dipanggil mendapat suntikan vaksin adalah lebih daripada 50 peratus.

Tegasnya, Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) dan pihak berkaitan perlu meneliti semula senarai penerima dengan kadar segera untuk mengelakkan isu tidak puas hati dikalangan penduduk amnya di daerah Meradong. — DayakDaily