KGBS menyeru Kementerian Pendidikan salur bantuan segera untuk SK Long Busang

Ahmad Malie bergambar kenangan dengan tetamu yang menghadiri rumah terbuka Hari Raya di kediamannya.

KUCHING, 7 Jun: Kesatuan Guru Bumiputera Sarawak (KGBS) menyeru Kementerian Pendidikan memberi bantuan segera kepada guru dan murid di SK Long Busang yang dilanda banjir.

Presidennya Ahmad Malie berkata demikian kerana sekolah di penempatan Long Busang, Belaga, terbabit yang ditenggelami air berikutan hujan lebat melanda kawasan pedalaman berkenaan sejak malam Isnin lalu.

“Kami menyeru pihak Kementerian Pendidikan Malaysia dan Jabatan Pendidikan Negeri supaya memberikan bantuan yang segera kepada sekolah terbabit terutama kepada guru dan muridnya,” katanya ketika mengadakan rumah terbuka Hari Raya Aidilfitri di kediamannya di Jalan Burung Lilin, di sini, hari ini.

Ahmad Malie (duduk tengah, enam kiri) bersama tetamu yang menghadiri rumah terbuka Hari Raya di kediamannya.

Ahmad Malie berkata ini termasuk bantuan dari segi membaik pulih segera infrastruktur sekolah terbabit yang mengalami kerosakkan akibat kejadian banjir itu sebelum berakhirnya cuti sekolah sempena perayaan Gawai Dayak dan Hari Raya Aidilfitri ini.

“Kementerian boleh juga mencari tempat alternatif buat sementara waktu (bagi murid belajar) untuk menjalankan kerja baik pulih sekolah terbabit,” katanya.


Kesatuan itu percaya sekolah terbabit mengalami banyak kerosakan infrastruktur berikutan banjir yang agak teruk yang telah dilaporkan melanda Long Busang, serta meminta guru sekolah itu bersabar dengan keadaan itu apabila kembali mengajar selepas cuti persekolahan.

“KGBS juga berterima kasih kepada (Ahli Parliman Hulu Rajang) Datuk Wilson Ugak Kumbong dan (Ahli Dewan Undangan Negeri Belaga) Datuk Liwan Lagang kerana bertindak awal memberi bantuan kewangan kepada mangsa banjir di Long Busang,” katanya.

Ahmad Malie berharap sumbangan kewangan dari kedua wakil rakyat terbabit dapat melegakan kesengsaraan mangsa banjir termasuk juga guru dan murid SK Long Busang.

Ini membuktikan ramai pihak prihatin dengan masalah mereka, tambah beliau sambil mengulas tindakan Ugak yang mengumumkan bantuan sebanyak RM20,000, manakala Liwan sebanyak RM30,000, kepada mangsa banjir terbabit. — DayakDaily