Ketua Menteri terima kunjungan hormat daripada UiTM dan SPANS

Jamil (enam kiri) bersama Abang Johari (enam kanan) dan delegasi UITM.

KUCHING, Mei 30: Universiti Institut Teknologi Mara (UiTM) berhasrat untuk membantu dalam memastikan inisiatif kerajaan Sarawak dapat direalisasikan menggunakan kepakaran yang mereka ada seperti menggunakan saintis atau penyelidik tempatan.

Rektor UiTM Prof Dato Dr Jamil Hamali berkata, kunjungan beliau bersama dengan delegasi UiTM ke Ketua Menteri Datuk Patinggi Abang Johari Tun Openg di Wisma Bapa Malaysia bertujuan untuk mengeratkan lagi kerjasama antara UiTM dengan kerajaan Sarawak dalam bidang penyelidikan, keusahawanan, ‘smart farming’, ‘Biochar’ serta beberapa aspek lain yang berkaitan.

Dalam pada itu, beliau menambah pihak UiTM terutama Bahagian Penyelidikan, Jaringan dan Industri berhasrat untuk membantu dalam memastikan inisiatif kerajaan Sarawak dapat direalisasikan menggunakan kepakaran yang mereka ada seperti menggunakan saintis atau penyelidik tempatan.


Selesai sahaja kunjungan hormat, Abang Johari juga telah menerima kunjungan hormat daripada Ahli-Ahli Suruhanjaya Perkhidmatan Awam Negeri Sarawak (SPANS) yang diketuai oleh Pengerusi SPANS Datu Abdul Ghafur Sharif.

Abdul Ghafur (lima kiri) dan Abang Johari (enam kanan) bersama delegasi dari SPANS.

Bercakap kepada pihak media sejurus selepas kunjungan hormat tersebut, Setiausaha SPANS Fathi Hambali memaklumkan bahawa tujuan kunjungan hormat tersebut adalah untuk memaklumkan kepada Ketua Menteri mengenai bilangan Ahli Suruhanjaya yang hampir mencapai kapasiti penuh iaitu seramai sembilan orang ahli yang mana dua daripadanya baharu sahaja dilantik pada tahun ini.

Beliau juga memaklumkan bahawa pihak SPANS akan berusaha untuk memenuhi kekosongan yang ada dalam Perkhidmatan Awam Negeri (PANS) dan meningkatkan lagi jumlah pada tahun 2019 dengan mensasarkan untuk mengisi 1,000 atau lebih kekosongan dalam PANS.

Berdasarkan rekod, pada tahun 2017, sebanyak 709 kekosongan dalam PANS telah diisi manakala pada tahun 2018, sebanyak 954 kekosongan daripada pelbagai gred jawatan di jabatan-jabatan negeri telah diisi. Ini menunjukkan peningkatan sebanyak 35 peratus.

Untuk tahun 2018, daripada 954 kekosongan yang telah diisi itu, seramai 637 orang adalah daripada PANS manakala 317 orang lagi adalah daripada Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) Kerajaan Negeri Sarawak. — DayakDaily