Ketiadaan Ali Biju, GPS ada kelebihan di DUN Krian

Poster dan bendera dari parti-parti bertanding menghiasi pekan Saratok.

Oleh Chris Bishop

SARATOK, 10 Dis: Kerusi panas Dewan Undangan Negeri (DUN) Krian kini menjadi rebutan calon dari Gabungan Parti Sarawak (GPS) Friday Belik dan Musa Dinggat dari Parti Sarawak Bersatu (PSB).

Ini berikutan pengunduran penyandangnya Datuk Ali Biju yang pada Isnin telah menyerahkan borang pencalonan sebagai calon Bebas tetapi mengumumkan menarik diri pada semalam.


Turut mencabar adalah Danny Kuan iaitu calon dari Parti Bumi Kenyalang (PBK).

Tinjauan DayakDaily di Pekan Saratok mendapati para pengundi terkesan dengan penarikan diri Ali Biju yang disifatkan sebagai seorang pemimpin berjiwa rakyat.

Beberapa pengundi DUN Krian yang enggan nama mereka didedahkan berkata, kini adalah terpulang kepada GPS dan PSB untuk memikat hati pengundi dan seterusnya memenangi kerusi tersebut.

“Kita akur dengan tindakan beliau (Ali Biju) untuk menarik diri pada pilihanraya negeri kali ini dan beliau juga menyeru penyokongnya untuk memberikan sokongan kepada calon GPS, Friday Belik.

“Dengan ketiadaan Ali Biju kali ini, kita meramalkan GPS ada kelebihan. Mungkin pada masa ini 60 peratus undi memihak kepada GPS sementara 40 peratus kepada PSB.

“Tetapi kita ada beberapa hari lagi menjelang tarikh mengundi, apa-apa boleh berlaku,” kata mereka ketika ditemui di sebuah ‘kopitiam’ hari ini.

Friday, 62, adalah bekas Residen Bahagian Betong dan merupakan calon baharu GPS dari Parti Progresif Demokratik (PDP).

Tambah mereka yang di dalam lingkungan umur 50 ke 60-an ini, persoalan sekarang adalah sejauh mana kesudian penyokong Ali Biju untuk beralih menyokong GPS sebagaimana yang di mahukannya.

Mereka berpendapat, sebahagian mungkin akan menuruti seruan tersebut dan mungkin sebahagian lagi akan membuat undi protes dengan mengundi calon PSB.

“Ini termasuk mengundi calon dengan lambang kerusi pada kertas undi iaitu Ali Biju sendiri dan kita tidak hairan keputusannya nanti Ali Biju memperolehi sejumlah undi,” kata mereka.

Biarpun mengumumkan menarik diri, nama Ali Biju yang bertanding sebagai calon Bebas pada PRN ini akan tetap dicetak pada kertas undi.

Malah, beliau akan kekal dianggap bertanding di kerusi DUN Krian.

Ini kerana berdasarkan undang-undang Suruhanjaya Pilihanraya(SPR), calon tidak boleh bertindak sedemikian walaupun tetap ingin menarik diri selepas disahkan bertanding menerusi proses penamaan calon.

Pada PRN-11 yang diadakan pada 2016, Ali Biju memenangi kerusi DUN Krian dengan memperolehi 5,388 undi dengan majoriti 1,640 undi mengalahkan calon Barisan Nasional Kilat Beriak.

Terdahulu beliau memenangi kerusi DUN Krian dengan majoriti 2,090 undi pada 2011 dengan menewaskan calon BN-PDP, Datuk Peter Nyarok Entrie.

Setelah memenangi Parlimen Saratok pada Piliharaya Umum Ke-14, Ali Biju kemudiannya menyertai Bersatu yang menubuhkan kerajaan Perikatan Nasional(PN) pimpinan mantan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin.

Ali Biju yang terlibat di dalam Langkah Sheraton kemudiannya dilantik sebagai Timbalan Menteri Tenaga dan Sumber Asli. — DayakDaily