Ketelusan pentadbiran senjata kerajaan Pakatan Harapan

Larry Asap

KUCHING, 30 Oktober: Pentadbiran yang telus dan reformasi intergriti pemerintahan adalah senjata Pakatan Harapan (PH), dan bukannya Majlis Pengurusan Komuniti Kampung Persekutuan (MPKKP), dalam berdepan dengan Gabungan Parti Sarawak (GPS) pada pilihanraya Sarawak yang akan datang.

Naib Pengerusi Pemuda Sosialis DAP Sarawak, Larry Asap, berkata kerajaan Pakatan telah menetapkan di dalam manifesto pilihanraya yang lalu, bahawa Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad tidak akan memegang jawatan Menteri Kewangan bagi mengelakkan “conflict of interest” dan perkara ini telah dilaksanakan.

Larry mempersoal, adakah kerajaan negeri Sarawak di bawah pimpinan Datuk Patinggi Abang Johari Tun Openg sanggup menerima cabaran supaya melepaskan jawatan menteri kewangan yang disandang oleh beliau tatkala menjadi ketua  menteri pada saat ini.

“Kita cabar kerajaan negeri Sarawak di bawah pimpinan GPS untuk melakukan reformasi ini. Kerajaan Pakatan turut melantik ahli parlimen pembangkang mengetuai “Public Account Committe” yang diberi kuasa luas dalam melakukan proses semak imbang ke atas setiap kementerian kerajaan Pakatan.

“Adakah GPS sanggup melantik pembangkang di Sarawak sebagai pengerusi ‘Public Account Committee di peringkat negeri?” ujar Larry dalam kenyataan media hari ini.

Beliau juga menyatakan tuntutan  ketelusan pentadbiran dan reformasi intergriti pemerintahan bukan hanya tuntutan Pakatan ke atas GPS, tetapi ianya adalah tuntutan rakyat Sarawak ke atas kerajaan negeri Sarawak. — DayakDaily