Oleh Chris Bishop
KUCHING, 14 Ogos: Ketua Menteri Datuk Patinggi Abang Johari Tun Openg menegaskan bahawa keselamatan rakyat dari virus Covid-19 keutamaan kerajaan negeri pada masa ini.
Justeru, beliau belum memikirkan kenyataan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin bahawa Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) akan diadakan selewat-lewatnya pada Julai tahun depan.
“Yang penting sekarang ialah kesihatan rakyat. Oleh sebab itu kita di peringkat negeri Sarawak yang penting bagi saya ialah kita mesti melawan virus Covid-19.
“Hal lain itu berhenti dahulu, virus yang satu itu (PRU15) tak perlu dibincangkan dahulu,” katanya.
Beliau berkata demikian pada sidang media selesai Taklimat Pembangunan di Rumah Rehat Kerajaan bersempena lawatannya ke Bahagian Limbang hari ini.
Turut sama Timbalan Ketua Menteri Datuk Amar Awang Tengah Ali Hasan dan Menteri Kerajaan Tempatan dan Perumahan Dato Sri Dr Sim Kui Hian.
Semalam, Muhyiddin dalam ucapan khas Bersama Memulihkan Negara yang disiarkan di stesen televisyen tempatan berkata PRU15 akan diadakan selewat-lewatnya pada penghujung Julai tahun depan.
Namun katanya, ia juga bergantung kepada situasi pandemik Covid-19 yang melanda negara
Tambah Muhyiddin, ia adalah akujanjinya dan adalah wajar untuk memulangkan semula mandat kepada rakyat bagi memilih kerajaan yang baharu.
“Saya tidak berhasrat untuk terus berpaut pada dahan kuasa. Dalam keadaan ini, adalah wajar mandat dipulangkan semula kepada rakyat untuk memilih kerajaan yang baharu apabila tiba masa yang lebih sesuai.
“Justeru, bergantung kepada situasi pandemik, saya membuat akujanji bahawa pilihan raya umum ke-15 akan diadakan selewat-lewatnya pada penghujung bulan Julai tahun hadapan,” kata Muhyiddin. — DayakDaily