KUCHING, Ogos 7: Ketiadaan hujan lebat minggu ini menyebabkan kualiti udara di bandaraya ini mula merosot akibat jerebu, dan telah mencatatkan skor Indeks Pencemaran Udara (IPU) 53 yang ditahap sederhana jam 4 petang semalam.
Berdasarkan laman web Jabatan Alam Sekitar (JAS), sebelum itu bandaraya ini mencatatkan IPU 50 pada jam 8 pagi tetapi meningkat kepada IPU 51 pada jam 12 tengahari dan kemudian meningkat ke IPU 52 pada jam 3 petang.
IPU dari 0 hingga 50 adalah baik, IPU 51 hingga 100 adalah sederhana, IPU 101 hingga 200 adalah tidak sihat, IPU 201 hingga 300 amat tidak sihat manakala IPU 300 keatas adalah merbahaya.
Bagaimanapun kawasan lain di negeri ini tiada mencatatkan IPU melebihi 50 pada jam 4 petang hari ini dengan IPU Samarahan (48), Sri Aman (25), Sarikei (29), Kapit (26), Sibu (36), Kapit (25), Mukah (31), Bintulu (45), Samalaju (38), Miri (32), ILP Miri ( 37), dan Limbang (25).
Kawasan lain yang mencatatkan IPU sederhana jam 4 petang semalam ialah Pegoh di Ipoh, Perak (52) dan Nilai, Negeri Sembilan (53).
Manakala melalui laman web Asian Specialised Meterological Center (ASMC) hanya satu titik panas dikesan satelit di negeri ini semalam yang terletak berhampiran Lundu manakala 26 titik panas dikesan di Kalimantan, Indonesia.
Bagaimanapun bulan lepas, Lembaga Sumber Asli dan Alam Sekitar (NREB) meramalkan Sarawak tidak akan dilanda masalah jerebu rentas sempadan dari Kalimantan, Indonesia ketika musim panas kering yang akan melanda negeri ini bermula Ogos sehingga Oktober tahun ini.
Kontroler Kualiti Alam Sekitar Sarawak, Peter Sawal berkata demikian kerana menjangkakan ketika musim panas kering terbabit akan ada berlaku perubahan arah tiupan angin yang seterusnya akan membawa sebarang jerebu dari pembakaran terbuka sekitar Kalimantan ke arah lautan dan bukan terus ke negeri ini.
“Ketika ini arah tiupan angin boleh secara terus membawa jerebu dari Kalimantan merentas sempadan ke Sarawak, tetapi dari pemantuan kami tahun lepas berkemungkinan arah tiupan angin akan berubah dalam satu atau dua minggu lagi dan membawa sebarang jerebu dari Kalimantan ke arah lautan,” katanya ketika NREB mengadakan taklimat mengenai jerebu dan pemantauan kualiti udara kepada warga media di Ibupejabat NREB di Menara Pelita, Petra Jaya, di sini, baru-baru ini. — DayakDaily