Kesan bekas luka terkena mesin gergaji memudahkan proses pengecaman mangsa

Mayat mangsa yang ditemui selepas empat hari dilaporkan hilang.
Advertisement

MUKAH, Feb 12: Seorang lelaki warga emas yang dilaporkan hilang sejak empat hari lalu selepas keluar ke kebun kelapa sawit ditemui mati dalam keadaan terdampar di tepi pantai Petanak di sini malam tadi.

Mayat mangsa, Bakar Sesin, 76, ditemui oleh orang awam yang kebetulan masih melakukan aktiviti riadah di tepi pantai tersebut kira-kira pukul 11.30 malam.

Ketua Polis Daerah Mukah, DSP Jimmy Panyau berkata, sejurus menerima laporan penemuan mayat seorang lelaki, sepasukan anggota polis kemudian bergegas ke lokasi kejadian untuk melakukan tindakan lanjut.

Advertisement

Katanya, sebaik tiba di lokasi, anggota polis mendapati terdapat satu mayat lelaki terdampar di tepi pantai di situ.

“Pemeriksaan lanjut mendapati mayat mangsa masih sempurna, namun hanya dalam keadaan memakai seluar sahaja.

“Anggota polis kemudian membawa mayat mangsa ke Hospital Mukah untuk proses pengecaman,” katanya ketika dihubungi hari ini.

Mengulas lanjut, Jimmy memberitahu, anak lelaki mangsa yang melakukan proses pengecaman mengesahkan mayat yang ditemui adalah bapanya.

Katanya, anaknya mengesahkan mangsa berdasarkan tahi lalat di sebelah bibir kiri dan kesan bekas luka di paha kiri mangsa yang terkena mesin gergaji.

“Bahagian muka selain seluar yang dipakai mangsa juga membantu proses pengecaman yang dilakukan oleh anaknya,” ujarnya lagi. — DayakDaily

Advertisement