Panik kononnya kad kredit diguna orang lain, penyelia syarikat lesap RM22,999

Supt Mustafa Kamal Gani Abdullah

Oleh Dean Adam

BINTULU, April 21: Gara-gara panik selepas menerima panggilan kononnya ada orang lain menggunakan kad kredit miliknya, seorang penyelia syarikat kerugian RM22,999 akibat ditipu sindiket ‘Macau scam’.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Komersil Sarawak, Supt Mustafa Kamal Gani Abdullah berkata, berdasarkan laporan diterima, mangsa yang berusia 43 tahun dikatakan telah menerima panggilan daripada seorang yang tidak dikenali yang mengatakan dari sebuah bank dari Selangor pada April 19 lepas.


Katanya, suspek kemudian mengatakan ada pihak menggunakan kad kredit Ambank milik lelaki berkenaan di Johor Bahru.

“Selepas itu, talian telefon telah disambungkan kepada seorang lelaki kononnya Sarjan Alan Chong Wai Mun.

“Suspek tersebut kemudian meminta mangsa untuk membuat laporan polis melalui talian bagi memudahkan pihak polis membuat siasatan,” katanya ketika dihubungi di sini hari ini.

Mustafa Kamal menambah, mangsa yang panik kemudian menuruti semua arahan suspek sehingga suspek terbabit mengarahkan mangsa untuk memindahkan wang ke satu akaun atas nama individu tidak dikenali kononnya untuk tujuan siasatan.

“Pada hari sama, mangsa telah memindahkan wang simpanannya sebanyak RM22,999 ke akaun yang diberikan suspek.

“Selepas memasukkan wang itu, suspek mengarahkan mangsa mengoyakkan resit bank itu dan mangsa dilarang memeriksa akaunnya sehingga hari Selasa (April 23 2019) supaya tidak mengganggu siasatan,” katanya.

Sambil menambah, beliau memberitahu, mangsa yang curiga dengan pangggilan telefon itu kemudian membuat semakan dengan pihak bank sebelum dia dimaklumkan telah ditipu.

“Kes ini masih lagi dalam proses siasatan,” ujar Musafa Kamal lagi. ā€” DayakDaily