Kes tembak mati di Kuching: Senapang patah dan peluru hidup dijumpai bersama suspek

Suspek disahkan meninggal dunia di lokasi kejadian.

KUCHING, 16 Dis: Senapang patah dan beberapa butir peluru hidup antara yang ditemui di dalam kereta suspek lelaki yang ditembak mati anggota polis trafik di Jalan Simpang Tiga di sini malam tadi.

Pesuruhjaya Polis Sarawak Datuk Aidi Ismail berkata suspek berusia 24 tahun itu terdahulunya dilihat berkelakuan mencurigakan ketika memandu sebuah kereta jenis Proton Saga di Jalan Wan Alwi pada jam 7.20 malam.

Katanya, lima anggota polis trafik terbabit yang menjalankan rondaan kemudian mengarahkan suspek memberhentikan keretanya, namun suspek terus memecut keretanya sehingga melanggar beberapa buah kenderaan awam di persimpangan lampu isyarat Simpang Tiga.


“Demi menjaga keselamatan dan harta benda orang awam, anggota trafik terbabit kemudian melepaskan tiga das tembakan ke arah tayar kereta suspek sehingga menyebakan kereta suspek berhenti.

“Selepas itu, anggota trafik terbabit bersama rakan setugasnya cuba menghampiri kenderaan suspek untuk tujuan pemeriksaan.

“Tiba-tiba dia melihat suspek memegang selaras senjata api dan untuk mempertahankan diri, anggota terbabit telah melepaskan dua das tembakan ke arah suspek,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Suspek kemudian disahkan meninggal dunia di lokasi kejadian oleh pegawai perubatan.

“Pihak polis telah merampas selaras senapang patah dan beberapa butir peluru hidup dari dalam kereta suspek,” katanya.

Siasatan juga mendapati suspek mempunyai 14 rekod jenayah lampau dengan pelbagai kesalahan jenayah seperti curi kenderaan, penipuan dan penyalahgunaan dadah.

Bedah siasat akan dilakukan di Hospital Umum Sarawak hari ini untuk mengetahui punva kematian suspek.

“Pihak polis juga ingin menasihatkan orang awam agar tidak membuat sebarang spekulasi mengenai kejadian ini agar tidak menjejaskan siasatan dan juga demi menghormati keluarga si mati,” kata Aidi. — DayakDaily