Kes positif Covid-19 di seluruh negara kembali catat empat angka

Covid-19 file pic

PUTRAJAYA, 19 Nov: Jumlah kes positif jangkitan Covid-19 kembali kepada empat angka hari ini dengan 1,290 jangkitan berbanding 660 jangkitan positif semalam, menjadikan jumlah kumulatif kes positif meningkat kepada 51,680 kes dengan kebolehjangkitan sebanyak 13,222 kes.

Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr Noor Hisham Abddulah berkata, daripada jumlah tersebut, lima kes daripadanya merupakan kes import yang mendapat jangkitan di luar negara manakala 1,285 kes merupakan kes jangkitan tempatan.

“Dua negeri yang mencatatkan kes yang tertinggi pada hari ini adalah Sabah dengan 660 kes dan Selangor (407 kes).


“Pelaporan kes yang tinggi di Sabah berpunca daripada kluster-kluster berkaitan Pusat Tahanan Sementara (PTS), lokap dan penjara (250 kes) manakala, peningkatan kes di Selangor pula berpunca daripada Kluster Teratai (245 kes) dan sebuah kluster baharu pada hari ini iaitu Kluster Kapas BJ (55 kes),” jelas kata beliau menerusi kenyataan harian Covid-19 hari ini.

Dr Noor Hisham mendedahkan sebanyak 269 kes atau 20.9 peratus yang dilaporkan hari ini adalah berkaitan kluster-kluster di Pusat Tahanan Sementara (PTS), lokap dan penjara antaranya membabitkan Kluster Penjara Sandakan (218 kes), Kluster Matambai (15 kes), Kluster Tembok (15 kes), Kluster Penjara Kepayan (9 kes), Kluster PTS Tawau (6 kes), Kluster Benteng PK (3 kes), Kluster GK Tawau (2 kes), dan Kluster Penjara Seberang Perai (1 kes).

“Sehingga 19 November 2020, terdapat sebanyak 319 kluster telah dilaporkan. Pada hari ini, terdapat empat (4) kluster baru yang dilaporkan menjadikan jumlah kluster aktif yang dipantau adalah sebanyak 165 kluster.

“Daripada jumlah tersebut, sebanyak 54 kluster melaporkan pertambahan kes dengan kluster-kluster yang melaporkan pertambahan kes baharu tertinggi adalah Kluster Teratai (245 kes), Kluster Penjara Sandakan (215 kes), dan Kluster Kapas BJ (55 kes),”

Sementara itu, jelas Dr Noor Hisham, empat kematian berkaitan Covid-19 dilaporkan hari ini dengan dua kematian dilaporkan di Sabah manakala Johor dan Perak masing-masing melaporkan satu kematian.

“Bagi kes kematian ke-323, ke-324 dan ke-325 merupakan warganegara yang terdiri daripada dua wanita dan seorang lelaki berumur antara 28 hingga 62 tahun dan mempunyai sejarah penyakit kencing manis, darah tinggi, penyakit buah pinggang kronik, obesiti dan dislipidemia.

“Manakala bagi kes kematian ke-326 yang dilaporkan di Hospital Lahad Datu, Sabah merupakan seorang wanita warga asing berusia 47 tahun dan mempunyai sejarah menghidap penyakit kencing manis.” — DayakDaily