Kes penyakit asma, konjuntivitis meningkat akibat jerebu

Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah

KUCHING, Sept 23: Ketua Pengarah Kesihatan Malaysia Datuk Dr Noor Hisham Abdullah memaklumkan terdapat peningkatan penyakit asma dan konjuntivitis di sepanjang masalah jerebu yang melanda seluruh negara pada masa ini.

Menerusi satu kenyataan media hari ini, beliau mendedahkan jumlah kes penyakit asma telah meningkat 3.5 peratus iaitu dari 1,222 kepada 1,265 kes dalam tempoh Sept 15 hingga 21.

“Begitu juga dengan penyakit konjuntivitis, terdapat peningkatan sebanyak 51.4 peratus iaitu dari 266 kepada 403 kes dalam tempoh masa yang sama,” katanya.

Namun tambah beliau, masalah berhubung jangkitan saluran pernafasan — ‘Upper Respiratory Tract Infection’ (URTI) — menunjukkan penurunan sebanyak 9.6 peratus iaitu dari 8,258 kes kepada 7,465 dalam tempoh yang sama.

Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) katanya memantau penyakit-penyakit berkaitan jerebu di 33 buah Fasiliti Sentinel Jerebu KKM.

Ujar Dr Noor Hisham lagi, KKM mengambil maklum mengenai bacaan Indeks Pencemar Udara (IPU) dari 68 Stesen Pengawasan Kualiti Udara Jabatan Alam Sekitar (JAS) pada jam 8 malam, Sept 22, 2019 yang menunjukkan 24 stesen merekodkan bacaan tahap sederhana, 42 stesen merekodkan bacaan tahap tidak sihat dan satu stesen mempunyai bacaan tahap sangat tidak sihat.

“Pada minggu epid ke-38, bermula Sept 15 hingga 21, 2019, terdapat 17 kawasan merekodkan status IPU Sangat Tidak Sihat iaitu Kulim Hi-Tech, Balik Pulau, Minden, Taiping, Johan Setia, Klang, Shah Alam, Petaling Jaya, Putrajaya, Batu Muda, Nilai, Tangkak, Sibu, Sarikei, Sri Aman, Samarahan dan Kuching.

“Ini berbanding tiga kawasan pada minggu epid ke 37 bermula Sept 8 hingga 14, 2019 iaitu Samarahan, Kuching dan Johan Setia. Tiada kawasan merekodkan status IPU Bahaya pada minggu epid ke-37.

“Walau bagaimanapun pada minggu epid ke-38 terdapat satu kawasan merekodkan status IPU Bahaya iaitu Sri Aman,” katanya.

Justeru, KKM menasihatkan orang ramai terutamanya golongan yang berisiko tinggi seperti kanak-kanak, orang tua, perokok, mereka yang sentiasa terdedah dengan udara luar dan mereka yang mengalami penyakit seperti asma, bronkitis, radang paru-paru, sakit jantung dan alahan agar mengambil langkah berjaga-jaga bagi mengurangkan kesan kesihatan akibat jerebu.

Bagi mendapatkan langkah-langkah pencegahan untuk mengurangkan kesan kesihatan akibat jerebu, orang ramai boleh melayari laman sesawang KKM di alamat http://www.moh.gov.my/index.php/pages/view/183.

Orang ramai disaran untuk mengikuti perkembangan semasa jerebu dan menyemak IPU di lokaliti masing-masing dengan melayari laman portal JAS di alamat http://apims.doe.gov.my/ dan mengikuti saranan pihak berwajib bagi setiap julat bacaan IPU. — DayakDaily