Hamidah: PH Sarawak gagal sebagai kerajaan pusat

Hamidah Mokhtar

KUCHING, Sept 23: Parti Islam Se-Malaysia (PAS) Sarawak menempelak Pakatan Harapan (PH) Sarawak kerana masih mempunyai mentaliti pembangkang dan hanya fokus dengan menyerang Gabungan Parti Sarawak (GPS).

Menurut Ketua Penerangan PAS Sarawak Hamidah Mokhtar dalam satu kenyataan, PH Sarawak sepatutnya fokus atas membantu dan menunjukkan sikap keutamaan mereka membantu kerajaan Sarawak atau GPS untuk mengembalikan hak Sarawak demi kebaikan rakyat di negeri ini.

“Lagi buruk, PH kerap menyalahkan kerajaan terdahulu apabila mereka gagal untuk memberi manfaat kepada rakyat. Inilah wajah setelah lebih setahun PH memerintah.


“Begitu juga dengan Sarawak yang terus ditinggalkan oleh mereka. Apa yang mereka mahu kini adalah berlumba untuk bersaing dengan GPS yang merupakan tunjang utama sokongan rakyat atau mandat rakyat Sarawak.

“Mereka lebih mengutamakan rakan mereka di Malaya dengan terus menekan serta tidak membantu GPS. Inilah puncanya hak rakyat Sarawak terus dibiarkan.

“Bagi mereka, walaupun berkuasa di peringkat “federal” tetapi mereka mahu lagi membolot kuasa di peringkat negeri demi kepentingan peribadi dan agenda parti mereka,” katanya.

Hamidah memberi contoh, project infrastruktur kesejahteraan rakyat di Sarawak ditarik balik, hak royalti untuk dinaikan tidak lagi berjaya diberi, malah PH dahulu sebelum Pilihanraya Umum lepas lantang menyuarakannya bersama PAS, kini diam seribu bahasa tidak berani bersuara dihadapan tuan mereka di Malaya.

Beliau kata pelaksanaan cukai barangan petroleum oleh GPS baru-baru ini juga ditolak oleh PH walaupun ianya penting untuk hasil Sarawak.

“PH yang ditunjangi Democratic Action Party (DAP) akan terus memberi harapan dan mimpi kepada Dayak terutamanya untuk menjadi Ketua Menteri. Namun muslimat PAS Sarawak menggesa agar kaum Dayak dan Melayu sebagai dua kaum terbesar di Sarawak, masing-masing 30 dan 24 peratus bersatu mempertahankan bersama hak Sarawak.

“Jika kita berpecah, kita sebagai bumiputera teras di Sarawak akan hilang kuasa. Kestabilan serta keharmonian kaum tidak akan tercapai jika kita terus berpecah di Sarawak,” kata Hamidah.

Beliau juga berkata muslimat PAS juga mahu ahli politik wanita di negeri ini bangkit untuk menyedarkan akan agenda buruk DAP yang mahu perpecahan berlaku antara kaum dan agama di negeri ini secara tidak langsung.

Tambah beliau, selama ini dua kaum terbesar di Sarawak ini cuba dipisahkan oleh pihak tertentu dengan perbezaan agama sedangkan agama masing-masing tidak membenarkannya.

Sebagai contoh, masyarakat Dayak ditakutkan dengan salah faham tentang agama Islam walaupun ramai ahli keluarga yang berbangsa Dayak memeluk Islam tanpa adanya sengketa dan prejudis, kata Hamidah. — DayakDaily