Kes penagihan dadah di Puncak Borneo merisaukan – Mongin

Mongin memukul gong sebagai simbolik Perasmian sambutan ulang tahun keenam Padawan 4x4 Adventure Club.

KUCHING, 23 Julai: Masalah peningkatan kes penagihan dadah khususnya di kalangan anak muda di kawasan Parlimen Puncak Borneo merisaukan ahli parlimennya Datuk Willie Mongin.

Beliau yang juga Timbalan Menteri Perusahaan Peladangan dan Komoditi telah menasihat anak muda agar menjauhkan diri daripada sebarang bentuk aktiviti penyalahgunaan dadah.
Katanya, ia merosakkan masa depan mereka dan menjejaskan reputasi kawasan Puncak Borneo.

“Golongan ibu bapa digesa supaya sentiasa memerhati gerak geri anak-anak mereka bagi memastikan mereka tidak terlibat dalam penagihan dadah atau sebarang bentuk aktiviti yang melibatkan dadah.


“Kita tidak mahu anak-anak Puncak Borneo terjerumus dengan gejala penagihan dadah yag boleh menghancurkan masa depan mereka sendiri, institusi keluarga dan masayarakat,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap merasmikan majlis sambutan ulang tahun keenam Padawan 4×4 Adventure Club di Barei Biperoh di Kampung Emperoh Gerung di sini malam tadi.

Tambah Mongin, golongan muda mudi sebaliknya menggunakan masa terluang mereka dengan aktiviti sukan dan rekreasi bagi menghindari diri mereka terjerumus dengan gejala tidak bermoral.

Dalam pada itu, Willie yang juga penaung Padawan 4X4 Adventure Club menggesa masyarakat khususnya golongan muda untuk mendaftar sebagai ahli kelab tersebut.

Katanya, sejak ditubuhkan kelab itu telah aktif dengan aktiviti sukan pemotoran pacuan empat roda dan kebajikan.

“Saya cukup teruja dengan aktiviti yang dianjurkan Padawan 4X4 Adventure Club kerana selain bersukan, ahli-ahlinya turut melakukan kerja-keja kebajikan termasuk membantu mangsa kebakaran dan banjir sehingga ke Belaga dan di sekitar kawasan Parlimen Puncak Borneo.

“Semasa pandemik Covid-19 selama dua tahun ahli-ahlinya turut membantu kita mengagihkan bantuan makanan kepada keluarga terjejas di sekitar kawasan Parlimen Puncak Borneo,” katanya.

Pada majlis itu beliau turut mengumumkan pembinaan trek untuk aktiviti perlumbaan kenderaan pacuan empat roda yang sedang dibina di Skunduk, Kampung Semadang di sini. — DayakDaily