Kes kematian di tapak pembinaan membimbangkan: Lee Lam Thye

Lee pada ucapan di Forum Keselamatan dan Kualiti Jabatan Kerja Raya(JKR) Sarawak di Kuching hari ini.

Oleh Chris Bishop

KUCHING, 14 Jan: Kes kematian membabitkan pekerja di dalam industri pembinaan di seluruh Malaysia pada 2018 sangat membimbangkan dan serius, kata Perunding Kanan Jabatan Keselamatan Pekerja dan Kesihatan(DOSH) Tan Sri Lee Lam Thye.

Lee juga mendedahkan bahawa jumlah kes kemalangan di dalam industri pembinaan pada tahun yang sama turut membimbangkan.

“Saya ingin memetik laporan yang dikeluarkan DOSH, iaitu pada tahun 2018 telah merekodkan 169 kes kematian dan 3,911 kemalangan dalam industri pembinaan.

“Berdasarkan statistik ini, nisbah kematian untuk 1,000 pekerja adalah 30.44 peratus jika dibandingkan 14.57 peratus pada tahun 2017.

“Sektor pembinaan pada tahun 2018 merekodkan jumlah kematian tertinggi jika dibandingkan dengan sektor lain,” katanya.

Beliau berkata demikian pada ucapan sempena Forum Keselamatan dan Kualiti Jabatan Kerja Raya(JKR) Sarawak di Kuching hari ini.

Disamping itu tambah Lee, Lembaga Pembangunan Industri Malaysia(CIDB) baru-baru ini turut melaporkan bahawa usaha untuk meningkatkan tahap keselamatan di tempat kerja di negara ini sangat lemah dan teruk.

Oleh yang demikian katanya, kedua-dua fakta ini mengingatkan setiap organisasi untuk tidak mengambil mudah soal keselamatan dan kesihatan pekerja.

Katanya, pihak-pihak yang terlibat mesti menggandakan usaha untuk meningkatkan tahap keselamatan dengan tujuan untuk mengelak kemalangan berulang lagi.

Justeru, beliau menggesa setiap organisasi untuk mengutamakam sistem pengurusan keselamatan dan kesihatan pekerja.

“Risiko memang ada, persoalannya adalah bagaimana kita menguruskannya supaya tidak menjadi serius sekaligus mengelak kemalangan berlaku.

“Oleh yang demikian, majikan dan pekerja haruslah mengutamakan keselamatan sebagai sebahagian dari pengurusan perniagaan atau operasi,” katanya.

Majikan katanya lagi, harus melabur dalam perkara yang boleh membantu meningkatkan sistem pengurusan keselamatan dengan menyediakan peralatan serta pengetahuan yang cukup kepada pekerja. —DayakDaily.