Oleh Chris Bishop
KUCHING, 18 Dis: Kes kemalangan jalan raya di Sarawak bagi tempoh Januari hingga Disember 2024 meningkat sebanyak 2.4 peratus dengan tambahan 466 kes berbanding tahun lalu.
Pesuruhanjaya Polis Sarawak, Dato Mancha Ata, berkata sebanyak 19,964 kes kemalangan direkodkan pada tahun 2024, berbanding 19,498 kes pada 2023.
“Manakala kes kemalangan maut pula menunjukkan penurunan 3 peratus iaitu daripada 336 kes kepada 326 kes pada tahun 2024. Statistik kemalangan dan kematian di jalanraya pada tahun 2024 di Sarawak belum dapat melegakan semua pihak,” katanya.
Mancha berkata demikian semasa Majlis Perasmian Program Advokasi Kempen Keselamatan Jalan Raya Menjelang Hari Krismas 2024 di Kuching hari ini.
Beliau turut menyatakan bahawa, meskipun terdapat penurunan kes kemalangan maut sebanyak 10 kes, perubahan sikap pemandu dan pengguna jalan raya masih tidak memadai.
“Malah sehingga berakhir bulan November 2024, kes kemalangan jalanraya terus menunjukkan peningkatan yang membimbangkan,” ujarnya.
Program Advokasi Kempen Keselamatan Jalan Raya ini berlangsung dari 23 hingga 27 Disember 2024, melibatkan lebih 700 pegawai dan anggota polis dari pelbagai cawangan dan jabatan. –DayakDaily