Kes covid-19 di Malaysia hampiri angka 17 ribu kes

Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah

PUTRAJAYA, 13 Okt: Penularan wabak Covid-19 di seluruh negara merekodkan sejumlah 660 kes positif hari ini menjadikan jumlah kumaltif kes positif wabak berkenaan di seluruh negara kini menghampiri angka 17 ribu kes dengan kebolehjangkitan meningkat kepada 5,345 kes.

Ketua Pengarah Kesihatan Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah berkata, daripada keseluruhan kes baharu dilaporkan hari ini, hanya dua kes sahaja merupakan kes import manakala selebihnya merupakan kes jangkitan tempatan.

“Daripada 658 kes jangkitan dan penularan tempatan terbabit, 618 kes merupakan kes di kalangan warganegara tempatan sementara 40 kes lagi berlaku dikalangan warganegara asing.

“Pada hari ini Sabah menyumbang kes tertinggi iaitu sejumlah 443 kes hasil saringan besar-besaran yang dilakukan di kawasan yang kini telahpun diklafikasikan sebagai Zon Merah jangkitan.

“Selangor menyumbang sebanyak 76 kes diikuti Kedah (60), Perak (16), Johor (10), Kuala Lumpur (9), Negeri Sembilan (2) dan Pahang (1). Bagi kes positif yang dilaporkan di Kedah dan Perak, penularan kes tersebut dilaporkan berlaku di dalam penjara iaitu di penjara Pokok Sena dan Kem Tahanan di Taiping,” katanya dalam sidang media secara langsung dari kediamannya hari ini.

Tambah Dr Noor Hisham, terdapat enam kluster baharu turut dilaporkan hari ini dengan empat daripadanya di Sabah manakala Selangor dan Pulau Pinang masing-masing satu kluster.

Sebanyak 350 kes turut dilaporkan pulih pada hari ini, menjadikan jumlah kumulatif kes pulih sepenuhnya daripada Covid-19 kepada 11,372 kes.

Seramai 101 pesakit Covid-19 kini sedang dirawat di Unit Rawatan Rapi (ICU) dengan 32 daripadanya memerlukan bantuan pernafasan.

“Dukacitanya setakat 12 tengah hari tadi, empat kematian berkaitan jangkitan Covid-19 dilaporkan kepada Pusat Kesiapsiagaan dan Tindak Cepat Krisis Kebangsaan (CPRC) menjadikan jumlah kumulatif kes kematian bertambah kepada 163 kes.

“Semua kematian tersebut dilaporkan berlaku di Sabah iaitu dua kematian direkodkan di Sandakan sementara satu kematian dilaporkan masing-masing di Tawau dan di Semporna,” katanya. — DayakDaily