Keluasan Pusat Latihan Pertanian Saberkas di Paya Paloh, Samarahan ditambah 50 ekar

Abdul Karim (duduk tengah) merakamkan kenangan bersama ahli-ahli Jawatankuasa Tertinggi Saberkas.

KUCHING, 13 Okt: Keluasan Pusat Latihan Pertanian Pertubuhan Belia Kebangsaan Sarawak (Saberkas) di Paya Paloh, Samarahan ditambah 50 ekar.

Presiden Saberkas Datuk Abdul Karim Rahman Hamzah berkata, kerajaan negeri telah bersetuju menyediakan tanah di sekitar pusat tersebut yang pada asalnya hanya berkeluasan 12 ekar.

Justeru kata Abdul Karim, usaha Saberkas untuk menyediakan latihan pertanian moden kepada golongan belia secara efektif di pusat tersebut mampu dilaksanakan.


“Dengan tambahan 50 ekar, ini mencukupi untuk kita merancang latihan kaedah pertanian moden kepada belia kita.

“Kita akan memastikan ia menjadi pusat terbaik untuk melatih golongan belia yang berminat di dalam bidang pertanian,” katanya pada sidang media hari ini.

Terdahulu Abdul Karim mempengerusikan Mesyuarat Jawatankuasa Tertinggi Saberkas di sebuah hotel di sini.

Selain di Paloh, Abdul Karim yang juga Menteri Belia dan Sukan turut memaklumkan bahawa pusat pertanian Saberkas di Miri juga dirancang untuk dinaiktaraf.

Katanya, ia selari dengan usaha pertubuhan yang memberi penekanan kepada usaha untuk membangunkan industri pertanian.

Mesyuarat hari ini merupakan mesyuarat pertama Jawatankuasa Tertinggi Saberkas Sarawak bagi Sesi 2020-2023.

Turut hadir Timbalan Presiden Saberkas Datuk Dr Abdul Rahman Junaidi. —DayakDaily