KUCHING, Jun 28: Seorang lelaki berdepan detik mencemaskan apabila kereta yang dipandunya merempuh belakang sebuah lori di Jalan Tun Salahuddin di sini hari ini.
Komander Operasi dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Tabuan Jaya, Rapee Ahmat Sahari berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan berhubung kejadian itu pada pukul 1.17 petang.
Katanya, sejurus itu sepasukan lapan anggota bomba telah diarahkan ke lokasi untuk melakukan kerja-kerja menyelamat.
“Apabila tiba, pasukan bomba mendapati sebuah kereta Proton Saga Aeroback telah melanggar belakang sebuah lori di jalan berkenaan.
“Pemeriksaan mendapati, bahagian depan kereta tersebut telah masuk bahagian bawah lori tersebut, namun pemandunya berjaya keluar dan hanya mengalami kecederaan ringan,” katanya di sini hari ini.
Rapee menambah, anggota bomba dari pasukan Kecemasan, Perubatan, Tindak Balas dan Perkhidmatan (EMRS) yang turut berada di lokasi bertindak memberi rawatan awal kepada mangsa.
Katanya, mangsa kemudian dibawa ke hospital untuk mendapatkan rawatan selanjutnya.
“Operasi tersebut tamat sepenuhnya selepas keadaan di lokasi kejadian terkawal dan selamat,” ujarnya. — DayakDaily