Kereta rempuh dinding stesen minyak, lelaki cedera pada muka

Kelihatan pasukan bomba membantu mangsa.

KUCHING, Mei 12: Seorang lelaki warga emas berdepan detik mencemaskan apabila kereta yang dipandunya merempuh dinding bangunan sebuah stesen minyak di Jalan Song di sini hari ini.

Bagaimanapun, dalam kejadian kira-kira pukul 9.40 pagi itu, lelaki berusia 69 tahun tersebut hanya mengalami kecederaan ringan.

Jurucakap Jabatan Bomba dan Penyelamat Sarawak berkata, pihaknya menerima laporan berhubung kejadian itu pada pukul 9.41 pagi.

Katanya, sepasukan lapan anggota bomba kemudian bergegas ke lokasi kejadian untuk membuat tindakan susulan.

“Apabila tiba di tempat kejadian, anggota bomba mendapati sebuah kereta Perodua Kenari telah melanggar dinding bangunan sebuah stesen minyak.

“Pemeriksaan lanjut mendapati mangsa mengalami kecederaan pada bahagian mukanya sebelum pihak bomba memberikan rawatan awal kepadanya,” katanya ketika dihubungi di sini hari ini.

Jurucakap sama memberitahu, mangsa kemudian dibawa ke hospital untuk mendapatkan rawatan lanjut.

“Operasi itu tamat sepenuhnya selepas keadaan di stesen minyak tersebut dalam keadaan selamat,” ujarnya. — DayakDaily