Peluang memenangi RM10,000 setiap minggu sempena Majma’ Raya Fest 2018

Abang Mohd Shibli (kanan) mengadakan sidang media mengenai Majma' Raya Fest 2018 di Majma Mall, Jalan P. Ramlee, di Kuching.

KUCHING, Mei 12: Sempena ketibaan bulan Ramadan, Kompleks Majma’ Tuanku Abdul Halim Mu’adzam Shah (Majma Mall) akan mengadakan acara Majma’ Raya Fest 2018 yang tarikan utamanya ialah peluang bagi pengunjungnya memenangi hadiah cabutan bertuah sehingga sebanyak RM10,000 setiap minggu di Majma Mall, Jalan P.Ramlee, di sini, dari Mei 17 sehingga Jun 14 depan.

Pengurus Besar Tabung Baitulmal Sarawak, Datu Haji Abang Mohd Shibli Abang Abdul Nailie menjelaskan pengunjung hanya perlu berbelanja dan mendapatkan resit pembelian barangan bernilai RM50 keatas di gerai jualan acara terbabit yang kali ketiga diadakan tahun ini bagi layak menyertai cabutan bertuah itu dengan nilai hadiah wang tunainya juga akan ditingkatkan setiap minggu.

“Tahun lepas hadiah utama bagi cabutan bertuah acara ini ialah sebuah kereta, tetapi tahun ini kami memutuskan mengubah pendekatan dengan menawarkan hadiah berbentuk wang tunai sebanyak RM10,000 setiap minggu kepada pengunjung bagi memudahkan mereka berbelanja membeli barangan keperluan menyambut Hari Raya Aidilfitri. Sehubungan itu, kami menyeru umat Islam supaya beramai-ramai mengunjungi acara Majma’ Raya Fest 2018,” katanya ketika mengadakan sidang media acara terbabit di Majma Mall,Jalan P.Ramlee, di sini, hari ini.


Abang Mohd Shibli berkata tahun ini keseluruhannya sebanyak 55 gerai di khemah jualan akan dibuka di luar Majma Mall dan kesemuanya sudah habis ditempah usahawan tempatan kerana mereka mampu mendapat jualan dan keuntungan memuaskan tahun lepas. Namun, pihaknya tidak dapat menambah gerai tahun ini walaupun banyak permintaan kerana masalah kekurangan ruang di luar Majma Mall manakala sebanyak 38 gerai disediakan dalam kompleks itu pula dikhususkan kepada penyewa premis permiagaan sedia ada di Majma Mall.

Katanya acara Majma’ Raya Fest 2018 akan bermula setiap hari dari jam 10 pagi sehingga 10 malam dengan antara barangan dijual pada acara terbabit ialah busana muslim dan muslimah, perhiasan, kasut, produk kesihatan, produk makanan, pameran jualan kereta dan sebagainya serta isteri Ketua Menteri, Datin Patinggi Dato Juma’ani Tun Tuanku Bujang dijangka akan merasmikan acara terbabit pada Mei 19 depan.

“Pengunjung ke Majma’ Raya Fest 2018 bukan sahaja akan mudah membeli barangan keperluan menyambut Hari Raya Aidilfitri, tetapi juga bagi berbuka puasa kerana Majma Mall ada medan selera besar di tingkat tiga dan juga surau yang boleh memuatkan sehingga seramai 400 jemaah,” katanya.

Abang Mohd Shibli berkata tarikan lain Majma’ Raya Fest 2018 ialah pertandingan Gema Aidilfitri, nyanyian lagu Hari Raya dipersembahkan artis tempatan termasuk Ismail Izzani dan IR Radzi, projek baju raya bagi membantu golongan memerlukan disamping kemudahan kaunter zakat yang akan dibuka pihak Tabung Baitulmal Sarawak sepanjang bulan Ramadan bagi memudahkan umat Islam mambayar zakat. — DayakDaily