Kereta langgar pokok, seorang lelaki maut manakala wanita cedera

Anggota bomba berusaha mengeluarkan mangsa dari dalam kereta Toyota Corolla.
Advertisement

BINTULU, Julai 19: Malang menimpa seorang lelaki apabila dia terkorban selepas kereta Toyota Corolla yang dipandunya hilang kawalan lalu merempuh pokok di bahu Jalan Tanjung Kidurong, berdekatan Kelab Golf Bintulu di sini petang semalam.

Ketua Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik Sarawak, Supt Alexson Naga Chabu berkata, kejadian pada pukul 6.50 petang itu mengakibatkan mangsa, Moh Woon Chai, 56, maut serta-merta di lokasi kemalangan.

Menurut beliau, seorang wanita warga Indonesia yang turut berada dalam kenderaan sama pula terselamat dan hanya mengalami kecederaan ringan.

Advertisement

“Siasatan awal mendapati kejadian itu berlaku apabila kereta yang dipandu oleh Moh dipercayai secara tiba-tiba hilang kawalan sebelum terbabas melanggar sebatang pokok di bahu jalan di situ.

“Impak kemalangan tersebut telah mengakibatkan bahagian depan kereta itu remuk dan menyebabkan mangsa tersepit,” katanya di sini hari ini.

Mengulas lanjut, Alexson menambah, siasatan juga mendapati tiada kenderaan lain terlibat dalam nahas berkenaan.

Jelasnya, cuaca semasa kejadian juga baik dan gambar di tempat kemalangan sudah diambil untuk tindakan selanjutnya.

“Mayat mangsa sudah dibawa ke Hospital Bintulu untuk dibedah siasat.

“Kes tersebut disiasat mengikut Seksyen 41 (1) Akta Pengangkutan Jalan 1987,” ujarnya lagi. — DayakDaily

Advertisement