Kereta kabel hubungkan perkampungan atas awan dan Empangan Bengoh di Padawan

Dr Jerip (duduk dua kanan) pada sidang media di Kuching hari ini.

Oleh Chris Bishop

KUCHING, 13 Dis: Idea membina sistem pengangkutan kereta kabel bagi menghubungkan perkampungan di kawasan tanah tinggi Padawan adalah sesuatu yang sangat menarik, kata Timbalan Menteri Pengangkutan Datuk Dr Jerip Susil.

Menurut beliau, terdapat cadangan termasuk daripada penduduk Padawan sendiri supaya kemudahan ini dibina bagi memudahkan pergerakan harian mereka.


“Memang ada cadangan termasuk daripada penduduk Padawan sendiri untuk menghubungkan Borneo Highland ke perkampungan yang berada di atas Empangan Bengoh.

“Ia kemudiannya dihubungkan ke beberapa perkampungan di atas awan seperti Kampung Sapit, Kampung Kiding dan Kampung Simuti.

“Kemudiannya kereta kabel ini akan kembali ke tempat permulaan iaitu di kawasan rumah panjang Annah Rais,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selesai Perasmian Mini Lab N. 19 Mambong For Greater Kuching Coordinated Development Agency (GKCDA) di sebuah hotel di sini, hari ini.

Tambah Dr Jerip yang juga Adun Mambong, sistem pengangkutan kereta kabel sangat efektif serta sesuai digunakan di kawasan tanah tinggi kerana ia mampu menghubungkan semua perkampungan.

Katanya, cadangan daripada penduduk setempat itu juga mengambarkan bahawa mereka mahukan satu sistem pengangkutan moden.

Dalam pada itu beliau memaklumkan bahawa kerajaan tidak akan membina jalan raya bagi menghubungkan perkampungan yang berada di atas Empangan Bengoh.

“Kita mahu ia kekal seperti sedia ada dimana para pengunjung boleh menikmati keindahan semulajadi yang ada.

“Untuk ke kampung-kampung atas empangan, terdapat perkhidmatan bot yang disediakan dan pengunjung boleh menikmati pengalaman melancong,” kata Dr Jerip. — DayakDaily