Kereta Grab hilang ditemui semula, polis cekup dua individu

Kereta Perodua Myvi yang berjaya ditemui semula hari ini.

KUCHING, Mac 28: Polis berjaya menemui semula sebuah kereta Grab jenis Perodua Myvi yang disyaki dirompak oleh seorang lelaki di sebuah bengkel di Jalan Stephen Yong di sini hari ini.

Kereta itu ditemui semula oleh sepasukan anggota polis yang menyerbu bengkel tersebut pada pukul 2.30 petang.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Sarawak, Datuk Dev Kumar berkata, ketika serbuan itu dilakukan, pasukan polis berjaya memberkas pemilik bengkel yang berusia 39 tahun.


Katanya, lelaki terbabit ditahan susulan tangkapan suspek utama pada pukul 4 petang semalam.

“Siasatan awal mendapati, kereta curi itu dijual pada harga RM1,000 sahaja, jauh rendah daripada pasaran biasa.

“Pemeriksaan lanjut, polis menemui beberapa bahagian kereta yang sudah dileraikan, dan nombor casis kenderaan tersebut juga dirosakkan,” katanya ketika dihubungi hari ini.

Dev menambah, serbuan tersebut telah dilakukan sepasukan pegawai dan anggota polis dari Bahagian Jenayah Berat (D9), Jabatan Siasatan Jenayah Sarawak.

DayakDaily sebelum ini melaporkan seorang pemandu Grab wanita berdepan detik cemas apabila dia diacukan sebilah parang sebelum keretanya dilarikan dalam satu kejadian pada malam Jumaat lepas. — DayakDaily