PRU14: Jabatan, agensi kerajaan pusat digesa bekerjasama supaya BN Sarawak menang besar

Awang Tengah (dua dari kiri) menyampaikan sijil penghargaan kepada kakitangan JASA yang telah lama berkhidmat di Malam 'Sedia & Yakin' #UntilWeWin anjuran JASA Sarawak.

KUCHING, Mac 28: Kerajaan negeri meminta jabatan dan agensi kerajaan pusat bersama memastikan Barisan Nasional (BN) Sarawak mendapat kemenangan besar pada Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU14) bagi menyumbang banyak kerusi Parlimen kepada BN dan dapat kembali menjadi kerajaan pusat.

Timbalan Ketua Menteri Datuk Amar Awang Tengah Ali Hasan berkata demikian kerana Sarawak hanya akan menyaksikan pertandingan kerusi Parlimen pada PRU14 dan tiada pertandingan kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) berikutan negeri ini sudah mengadakan pilihanraya negeri pada 2016.

“Pilihan Raya Negeri Sarawak lepas menyaksikan BN Sarawak memenangi sebanyak 72 dari 82 kerusi DUN. Walaupun pilihanraya kali ini hanya membabitkan kerusi Parlimen bagi negeri ini, kita harus memastikan kemenangan besar kepada BN di Sarawak supaya memastikan Datuk Seri Najib Tun Razak terus menjadi Perdana Menteri dan kerajaan persekutuan adalah BN,” katanya ketika merasmikan Malam ‘Sedia & Yakin’ #UntilWeWin anjuran Jabatan Hak Ehwal Khas (JASA) Sarawak 2018, di sini, semalam.

Awang Tengah berkata ini kerana pada PRU13 yang lepas, BN di Sarawak mampu memenangi sehingga 25 kerusi Parlimen dari keseluruhannya 31 kerusi yang dipertandingkan di negeri ini dan kerusi terbabit membolehkan BN kembali menjadi kerajaan pusat dan Najib kembali menjadi Perdana Menteri.

Katanya pada PRU14 akan datang, BN Sarawak sekali lagi mahu Najib kembali menjadi Perdana Menteri berikutan pemimpin terbabit selama ini rapat dengan ramai pemimpin Sarawak termasuk bekas Ketua Menteri, Allahyarham Pehin Sri Adenan Satem dan Ketua Menteri Datuk Patinggi Abang Johari Tun Openg.


“Malahan lebih penting lagi beliau (Najib) begitu perihatin dengan keperluan dan kehendak masyarakat kita di Sarawak ini. Sejak mula menjadi Perdana Menteri beliau sudah melawat negeri ini lebih 100 kali, jauh lebih banyak berbanding Tun Dr Mahathir Mohamad ketika menjadi Perdana Menteri selama 22 tahun,” katanya.

Disamping itu, Perdana Menteri memperuntukkan sebanyak RM16 bilion bagi membina Lebuhraya Pan Borneo dan adalah peruntukan terbesar pernah diberikan kerajaan pusat bagi melaksanakan projek pembangunan di negeri ini.

“Beliau (Perdana Menteri) juga meluluskan jutaan ringgit bagi melakukan kerja pengukuran tanah NCR dan ketika ini lebih 700,000 hektar tanah NCR sudah disukat di seluruh negeri ini,” katanya.

Menurutnya ini menunjukkan Najib menunaikan semua yang dijanjikannya dalam manisfesto BN pada PRU13 dan bukan semata-mata membuat manifesto itu bagi mengambil hati rakyat kerana mahu memenangi pilihanraya seperti pembangkang.

Sehubungan itu beliau mahu jabatan dan agensi kerajaan pusat seperti JASA dan Jabatan Penerangan membantu memberikan maklumat terbabit kepada rakyat di negeri ini disamping menjelaskan dasar kerajaan dan isu-isu yang dibangkitkan pembangkang. — DayakDaily