Kerani wanita berputih mata, rugi RM2,900

Scam alert. — DayakDaily.com file pic // Photo: Pixabay

Oleh Dean Adam

SIBU, Nov 18: Lagi kes kerani wanita ditipu sindiket ‘Macau scam’ di negeri ini.

Kes terbaharu melibatkan mangsa berusia 43 tahun yang kerugian RM2,900 dan kejadian itu dilaporkan berlaku antara November 16 hingga 17 lepas.


Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Komersil Sarawak, Supt Mustafa Kamal Ghani Abdullah berkata, berdasarkan laporan diterima, mangsa dikatakan telah menerima panggilan telefon daripada seorang lelaki menggunakan bahasa Mandarin.

Katanya, suspek kemudian mengatakan mangsa telah terlibat dengan pinjaman wang sebanyak RM50,000 di Terengganu.

“Seterusnya suspek memberitahu, akaun bank mangsa terpaksa dibekukan kerana dikatakan tidak pernah membuat pembayaran di atas pinjaman tersebut.

“Lelaki itu kemudian meminta mangsa membayar wang sebanyak RM300,000 dan jika tidak dia akan ditangkap polis dari Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Terengganu,” katanya di sini hari ini.

Mustafa menambah, panik akaun banknya akan dibekukan, mangsa kemudian memasukkan wang ke akaun bank atas nama Nur Aeffariesha sebanyak RM2,900 di CIMB Bank Sibu, semalam.

Katanya, mangsa yang mula berasa curiga dengan perkara tersebut kemudian terus memberitahu rakannya tentang perkara itu.

“Rakan mangsa kemudian memberitahu mangsa telah ditipu oleh sindiket penipuan ‘Macau scam’.

“Mangsa seterusnya membuat laporan polis untuk siasatan lanjut,” katanya. — DayakDaily