Enam sekeluarga tinggal sehelai sepinggang akibat kebakaran

Kelihatan api sedang marak membakar sebuah rumah.

Oleh Dean Adam

KUCHING, Nov 18: Bukan setakat rumah terbakar 100 peratus, sebuah keluarga turut kehilangan sebuah kereta akibat kebakaran di Taman Woon, Jalan Matang di sini malam tadi.

Dalam kejadian kira-kira pukul 10.30 malam itu, enam sekeluarga telah hilang tempat tinggal dengan sebuah kereta Toyota Vios milik mereka turut terbakar.


Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Petra Jaya, Tan Min Chai berkata, pihaknya menerima laporan mengenai kebakaran itu pada pukul 10.31 malam.

Jelasnya, sejurus itu, sepasukan anggota bomba dari BBP Petra Jaya telah bergegas ke tempat kejadian untuk melakukan operasi memadam kebakaran.

“Apabila tiba, pasukan bomba mendapati api sedang marak membakar sebuah rumah ‘semi-detached’ jenis setingkat struktur kekal di situ.

“Anggota bomba yang tiba di lokasi terus bertindak membuat teknik ‘fire break’ bagi mengelak kebakaran merebak ke rumah yang berhampiran,” katanya di sini hari ini.

Anggota bomba berusaha memadamkan kebakaran.

Tan menambah, pemeriksaan lanjut mendapati kesemua penghuni rumah tersebut berjaya keluar menyelamatkan diri.

Bagaimanapun katanya, keluarga terbabit gagal menyelamatkan pelbagai barangan serta dokumen penting akibat api marak dengan cepat.

“Buat masa ini, pihak bomba masih menyiasat punca kebakaran dan jumlah kerugian akibat kejadian berkenaan,” katanya. — DayakDaily