Kerajaan teruskan Geran Khas Prihatin bantu PKS

Prime Minister Tan Sri Muhyiddin Yassin. (file photo)
Advertisement

KUCHING, 17 MAC: Kerajaan bersetuju untuk meneruskan Geran Khas Prihatin(GKP 3.0) untuk memastikan kelangsungan perniagaan khususnya kepada Perusahaan Kecil Dan Sederhana(PKS) tempatan.

Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata, ia penting supaya perniagaan mendapat bantuan untuk beroperasi semula.

“Setiap perusahaan mikro dan PKS yang layak akan menerima bantuan one-off sebanyak RM1,000.

Advertisement

“Permohonan bagi GKP 3.0 akan dibuka mulai 1 April bagi PKS yang tidak menerima GKP sebelum ini.

“Geran ini dijangka akan memanfaatkan lebih sejuta usahawan,”katanya pada ucapan Program Strategik Memperkasa Rakyat Dan Ekonomi (PEMERKASA) hari ini.

Muhyiddin turut mengumumkan dana pembiayaan tambahan sebanyak RM500 juta bagi kemudahan pembiayaan mikro kredit.

Katanya, ia dilaksanakan melalui program-program di bawah BSN, TEKUN, MARA dan SME Corp.

Melalui BSN, dana sebanyak RM300 juta akan disediakan dengan had pembiayaan sehingga RM50,000 di mana kadar faedah telah dikurangkan daripada 3.5 kepada 3 peratus.

Tempoh pinjaman adalah untuk 5 tahun dan bayaran ansuran hanya bermula selepas bulan keenam.

” TEKUN Nasional akan menyediakan dana tambahan sebanyak RM60 juta terutamanya untuk Skim Pembiayaan Informal dengan had pembiayaan sehingga RM5,000 bagi perniagaan secara kecil-kecilan daripada rumah, pasar malam dan pasar tamu.

“Selain itu, program TEKUN Mobilepreneur akan diperluaskan untuk pembiayaan membaik pulih atau membeli motosikal baharu dengan had sehingga RM10,000,”ujar Muhyiddin.

Tambah beliau lagi, TEKUN juga akan memperkenalkan program TEKUN POS-preneur di mana pemohon dapat menjana pendapatan melalui kontrak penghantaran barangan.

Bantuan pembiayaan diberikan sehingga RM20,000 untuk tujuan baik pulih kenderaan, dan sehingga RM50,000 untuk pembelian van atau lori.

Mengulas lanjut, Muhyiddin berkata melalui MARA, Skim Pembiayaan Perniagaan Prihatin Mikro akan dilaksanakan dengan keutamaan untuk membantu 1,000 PKS mikro Bumiputera.

“Sebanyak RM50 juta ringgit disediakan dengan nilai pembiayaan sehingga RM50,000 pada kadar faedah serendah 3 peratus,”ujar beliau.-DayakDaily.

Advertisement