Tiada lagi PKP dilaksanakan secara menyeluruh, kata Muhyiddin

Tan Sri Muhyiddin Yassin

PUTRAJAYA, 17 Mac: Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) tidak akan dilaksanakan secara menyeluruh di seluruh negeri atau negara sebaliknya kawalan pergerakan hanya dilaksanakan mengikut lokaliti dan secara tertumpu kepada kluster berkaitan sahaja.

Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata, keputusan tersebut diambil selepas mengambil kira perlaksanaan program imunisasi kebangsaan yang sedang dilaksanakan ketika ini.

“Kerajaan juga akan melaksanakan strategi kawalan penularan Covid-19 secara lebih bersasar dengan bersandarkan sains dan data untuk mengurangkan impak negatif terhadap aktiviti ekonomi negara,” katanya dalam satu perutusan khas yang disiarkan hari ini.


Beliau berkata, menerusi fokus pertama program Strategi Memperkasa Rakyat dan Ekonomi (Pemerkasa) kerajaan akan menaikkan peruntukan bagi program imunisasi daripada RM3 bilion kepada RM5 bilion untuk mempercepatkan sasaran imunisasi berkelompok kepada Disember 2021, berbanding sasaran awal iaitu pada suku pertama tahun 2022.

Katanya, untuk mencapai sasaran tersebut, seramai 15 ribu petugas akan ditempatkan di hampir 950 Pusat Pemberian Vaksin (PPV) di seluruh negara.

“Mengambil kira pertambahan tugas tersebut, kerajaan bersetuju Bantuan Khas Covid-19 dengan kadar RM200 sebulan dipanjangkan kepada petugas penjawat awam yang terlibat dalam program imunisasi di PPV berkenaan.

“Setakat ini lebih 300 ribu rakyat di negara ini telahpun menerima suntikan vaksin Covid-19 menerusi fasa pertama program imunisasi kebangsaan,” katanya.

Muhyiddin berkata selaras dengan Ordinan Darurat (Kuasa-Kuasa Perlu) 2021, pematuhan prosedur operasi standard (SOP) dan penguatkuasaan perundangan yang lebih ketat dan telus akan terus dilaksanakan bagi mengawal penularan wabak Covid-19.

Ujarnya, bagi melindungi golongan pekerja, Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri (Miti) akan melaksanakan inisiatif ‘Safe@Work’.

Inisiatif tersebut akan mempertanggungjawabkan majikan untuk menyediakan tempat kerja dan penginapan yang kondusif bagi para pekerja mereka.

“Syarikat yang berdaftar dengan Miti untuk program Safe@Work akan dibenarkan beroperasi dalam keadaan di mana pekerja-pekerja kontak rapat diasingkan daripada komuniti setempat dan pekerja-pekerja lain dengan meletakkan mereka di dalam “safe work bubble” sehingga kesemua pekerja kontak rapat disahkan selamat daripada Covid-19.

“Sebagai galakan kepada syarikat untuk menyertai program yang bersifat sukarela ini, kerajaan bersetuju memberikan potongan cukai tambahan kepada syarikat pengilangan dan syarikat perkhidmatan berkaitan pengilangan ke atas perbelanjaan sewaan premis dan asrama pekerja,” katanya.

Jelas Muhyiddin, perbelanjaan yang layak untuk mendapat potongan cukai tambahan terbabit dihadkan kepada RM50 ribu bagi setiap syarikat yang berdaftar dengan Miti dengan syarat telah lulus audit pematuhan Safe@Work

katanya, syarikat-syarikat terbabit berkenaan boleh mendaftar mulai 1 April depan.

“Selain itu, majikan yang membuat ujian pengesanan Covid-19 untuk pekerjanya dibenarkan membuat potongan cukai tambahan ke atas kos ujian pengesanan Covid-19 bagi perbelanjaan yang dibuat sehingga 31 Disember 2021,” katanya. — DayakDaily