Oleh Chris Bishop
KUCHING, 18 Nov: Dalam ucapan penggulungan dalam persidangan Dewan Undangan Sarawak (DUS) hari ini, Menteri Utiliti Dan Telekomunikasi Dato Sri Julaihi Narawi memaklumkan Jabatan Bekalan Air Luar Bandar (JBALB) tidak termasuk dalam entiti bekalan air tunggal buat masa ini.
Kerajaan Sarawak meluluskan untuk mewujudkan satu entiti bekalan air tunggal yang dijangka mula beroperasi dalam masa terdekat.
Ia melibatkan penggabungan agensi bekalan air Lembaga Air Kuching (KWB), Lembaga Air Sibu (SWB) dan LAKU Management Sdn Bhd (LAKU).
“Entiti ini bagi meningkatkan pengurusan bekalan air yang lebih efisien.
“Manakala, Jabatan Bekalan Air Luar Bandar (JBALB) terus kekal sebagai jabatan yang berperanan untuk menyediakan infrastruktur bekalan air terutamanya di kawasan luar bandar.
“JBALB akan turut menjadi sebahagian daripada entiti air tunggal pada masa hadapan,” kata Julaihi.
Sementara itu, Kementerian Utiliti Dan Telekomunikasi melihat secara terperinci kemungkinan untuk menyemak semula Ordinan Air 1994.
Julaihi berkata, ia berhubung kadar penalti terhadap pihak (ketiga) yang merosakkan saluran paip di seluruh Sarawak.
“Ini supaya kadar penalti ditingkatkan setimpal dengan kerosakan sebab yang menerima kesannya ialah orang awam.
“Berdasarkan Ordinan Air 1994, penalti kepada mereka menyebabkan kerosakan saluran paip di lapangan begitu rendah sekali iaitu RM5,000.
“Ia jauh rendah berbanding tempat lain di Semenanjung dan Sabah yang mencecah RM50,000, manakala di Singapura SGD40,000,” katanya pada sidang media di Kompleks DUS hari ini. — DayakDaily