Kerajaan sasar ‘sifar dadah’ untuk Miri menjelang tahun 2024

Fatimah (empat dari kanan) bersama Razi Sitam (empat dari kiri) bergambar bersama peserta bengkel di Miri pagi tadi.

Oleh Brad Rantayy

MIRI, 20 Jan: Komitmen dan kesediaan ahli-ahli Biro Menangani Isu Dadah dan Substans (MIDS) kawasan penghulu serta komuniti setempat penting bagi mencapai sasaran kerajaan ‘sifar dadah’ di daerah Miri menjelang tahun 2024.

“Ini bermakna, kita mensasarkan akhir tahun 2023 untuk daerah Miri terkawal dan pada tahap paling minima dan kita mahu Miri mencatatkan statistik ‘sifar’ penagih dadah berulang pada tahun 2024,” jelas Menteri Pembangunan Wanita, Kanak-Kanak dan Kesejahteraan Komuniti, Datuk Sri Fatimah Abdullah.


Ketika ditemui selepas melancarkan bengkel pelaksanaan pelan tindakan daerah Miri bebas dadah pada Khamis di sini, beliau berkata, antara pelan tindakan untuk daerah Miri merangkumi tindakan penguatkuasaan bersepadu yang lebih agresif bagi menyekat bekalan dan permintaan terhadap dadah.

“Selain itu, kita juga memperkasakan golongan rentan dan berisiko di institusi pendidikan di dalam komuniti melalui aktiviti pencegahan yang bersasar dan pada yang sama mengerakkan Biro MIDS kawasan secara berterusan,”ujarnya.

Bagi tempoh Januari sehingga Disember tahun 2021, Miri mencatatkan 640 tangkapan melibatkan aktiviti penyalahgunaan dadah dan substans.

Bagi tempoh yang sama, Sarawak merekodkan sebanyak 7,269 tangkapan.

Daripada jumpa itu, Kuching mencatakan tangkapan tertinggi (1,859 orang), diikuti Miri (640 orang), Sibu (613 orang), Bintulu (589 orang) dan Samarahan (489 orang).

Program bengkel tersebut merupakan intervensi untuk menentukan halatuju tindakan gerak gempur bersepadu One Stop Committee (OSC) bagi MIDS di seluruh Sarawak.

Hadir sama semasa pelancaran bengkel dua hari itu ialah Menteri Muda Pembangunan Wanita, Kanak-Kanak dan Kesejahteraan Komuniti, Mohammad Razi Sitam, pemangku pegawai Daerah Miri merangkap pengerusi OSC MIDS Miri Siti Rohanie Yusof. — DayakDaily