This Content Is Only For Subscribers
KUCHING, 26 Julai: Program Rekalibrasi Tenaga Kerja (RTK) 2.0 dilaksanakan di Sarawak mulai 26 Julai 2023 sehingga 31 Disember 2023.
Menurut laporan Unit Komunikasi Awam Sarawak (Ukas), Timbalan Menteri di Jabatan Premier Sarawak (Buruh, Imigresen dan Pemantauan Projek), Datuk Gerawat Gala berkata, objektifnya adalah untuk menyelaras Pendatang Asing Tanpa Izin (PATI) yang sedia ada di Sarawak sebagai pekerja asing yang sah.
Jelasnya, semua PATI dan majikan yang berhasrat untuk menyertai Program RTK 2.0 ini perlu berurusan secara terus dengan pihak Jabatan Imigresen Malaysia dan Jabatan Tenaga Kerja di Sarawak.
“PATI yang dibenarkan untuk didaftarkan di bawah Program RTK 2.0 adalah warganegara asing yang telah melakukan kesalahan pada atau sebelum 31 Disember 2022.
“Ini di bawah Seksyen 6(1)(c) Akta Imigresen 1959/63 iaitu masuk dan tinggal di negara ini tanpa mempunyai pas yang sah, Seksyen 15(1)(c) Akta Imigresen 1959/63 iaitu tinggal lebih masa dan Peraturan 39(b) Peraturan-Peraturan Imigresen 1963 iaitu melanggar syarat pas dan tempoh sahlaku dokumen perjalanan sekurang-kurangnya enam (6) bulan,” katanya dalam satu kenyataan media hari ini.
Tambah Gerawat, majikan yang beroperasi dalam sektor 3D iaitu ‘Dangerous, Difficult and Dirty’ adalah dibenarkan untuk mengambil PATI dengan mendaftarkan mereka sebagai pekerja dalam tempoh pelaksanaan RTK 2.0.
Kenyataan sama turut memberitahu sektor-sektor yang terlibat dalam Program RTK 2.0 adalah Sektor Perkilangan, Pembinaan, Perladangan, Pertanian, Perkhidmatan, Perlombongan & Kuari dan Pembantu Rumah Asing.
Difahamkan, hanya PATI dari 16 negara sumber sahaja yang dibenarkan iaitu Indonesia, Bangladesh, Thailand, India, Filipina, Kemboja, Laos, Nepal, Myanmar, Sri Lanka, Vietnam, Pakistan, Turkmenistan, Uzbekistan, Kazakhstan dan China. — DayakDaily