Kerajaan Sarawak tanggung setengah daripada kos RM1 bilion, jadikan Sarawak sebagai Jelapang Padi

Dr Rundi (duduk tengah) pada sidang media di Miri.
Advertisement

KUCHING, 17 Julai: Kerajaan Sarawak bersetuju untuk menampung setengah daripada kos berjumlah RM1 bilion sebagai usaha menjadikan Sarawak salah satu Jelapang Padi di Malaysia.

Menteri Industri Makanan, Komoditi dan Kemajuan Wilayah Dato Sri Dr Stephen Rundi Utom berkata, peruntukan selebihnya iaitu RM500 juta masih ditunggu daripada Kerajaan Pusat.

“Kita telah berbincang dengan Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan Datuk Seri Mohamad Sabu di mana kita mencadangkan perkara ini yang akan memakan kos RM1 bilion.

Advertisement

“Biarpun dengan reaksi positif daripada Kerajaan Pusat, namun peruntukan berkemungkinan akan diterima pada tahun hadapan,” kata Dr Rundi.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas Seminar Kebangsaan Ke-16 (NATSEM 2024) – Peluang & Strategi: Untuk Meningkatkan Keuntungan Perniagaan Kelapa Sawit di Miri pada Isnin lepas.

Menurut Dr Rundi, jumlah keseluruhan RM1 bilion diperlukan bagi membangunkan 5,000 hektar untuk seluruh Sarawak.

Katanya, ini bagi menyediakan infrastruktur yang dapat menampung penanaman padi serta varieti pengeluaran hasil padi yang tinggi terutamanya padi U-Putra hasil kajian Universiti Putra Malaysia (UPM).

“Dengan pembinaan infrastruktur di pelbagai peringkat kelak, kawasan tanaman padi dapat dizonkan bagi penanaman padi sahaja.

“Kerajaan Sarawak juga tidak akan memperolehi apa-apa keuntungan daripada projek Jelapang Padi ini namun bagi memastikan keterjaminan makanan,” ujarnya.

Tambah Dr Rundi lagi, peruntukan yang diminta amat penting namun memerlukan peruntukan yang lebih tinggi.

“Ini disebabkan peruntukan yang dimohon hanya meliputi 3,000 hektar sahaja dengan Sarawak berhasrat untuk meluaskan projek ini sebanyak 10,000 hektar. — DayakDaily

Advertisement