Kerajaan Sarawak peka permintaan pengusaha industri pelancongan di Bau

Dr Rundi meniup sumpit sebagai simbolik merasmikan acara Borneo Tribal Fest 2019.

BAU, 8 Jun: Kerajaan Sarawak tidak akan mengabaikan permintaan pengusaha tempat pelancongan di kawasan Bau samada dari segi peruntukan ataupun penyediaan bekalan air dan elektrik ke premis mereka.

Menteri Utiliti Dato Sri Dr Stephen Rundi Utom berkata kerajaan negeri sentiasa sensitif kepada segala permintaan terbabit bagi membangunkan industri pelancongan di Sarawak.

“Kerajaan Sarawak amat menyokong segala usaha kamu (pengusaha tempat pelancongan di kawasan Bau) dan kami juga sentiasa sensitif kepada keperluan semua yang mahu membangunkan industri pelancongan Sarawak,” katanya ketika merasmikan acara Borneo Tribal Fest 2019 yang berlangsung 8-9 Jun di Borneo Tribal Village (BTV) di Kampung Apar, di sini, hari ini.


Dr Rundi (enam kanan) menyaksikan Nansian meniup lilin atas kek harijadinya yang ke-70 selepas merasmikan acara Borneo Tribal Fest 2019.
Kemudahan pelancongan di Borneo Tribal Village.

Dr Rundi berkata industri pelancongan bakal menjadi penyumbang besar kepada ekonomi Sarawak pada masa depan berikutan corak sumbangannya yang sentiasa meningkat berbanding industri lain yang menurun.

Sehubungan itu, beliau mengumumkan peruntukannya sebanyak RM30,000 kepada BTV bagi menambah baik kemudahan di tempat pelancongan terbabit yang seluas 25 ekar.

“Saya juga akan meminta pegawai dan kakitangan kementerian melihat keperluan premis BTV yang perlu perluasan bekalan elektrik dan air di sekitarnya,” katanya.

Ini berikutan penasihat Borneo Tribal Fest 2019, Datuk Peter Nansian Ngusie, memohon kementerian itu untuk menperluaskan lagi bekalan air dan elektrik di dua kilometer jalan melalui premis BTV supaya lebih ramai dapat menetap berhampiran premis itu.

Selain itu, Presiden Persatuan Penyelidikan dan Pergerakkan Pembangunan Singai Sarawak (Reedems) terbabit juga memohon peruntukan bagi membuka taman buluh di premis pelancongan terbabit untuk kegunaan orang ramai dan memerlukam sekurangnya sebanyak RM30,000. — DayakDaily