Kerajaan Sarawak kaji keperluan penyelarasan gaji dan elaun baharu KMKK

Sikie menyampaikan ucapan penggulungan kementerian di Persidangan DUS (18 Nov 2024). Foto: Jabatan Penerangan
Advertisement

Oleh Chris Bishop

KUCHING, 18 Nov: Kerajaan Sarawak dalam peringkat akhir kajian terperinci bagi keperluan penyelarasan gaji dan elaun baharu ketua masyarakat dan ketua kaum (KMKK).

Menteri di Jabatan Premier (Undang-Undang Dan Adat Bumiputera) Dato Sri John Sikie Tayai berkata, ia selaras dengan peranan, tanggungjawab serta bebanan tugas yang semakin mencabar di samping keadaan ekonomi semasa.

Advertisement

“Kali terakhir Kerajaan Sarawak membuat penyelarasan gaji bagi Ketua Masyarakat dan Ketua Kaum adalah pada tahun 2018.

“Pelarasan ini melibatkan kenaikan gaji serta elaun bulanan sebanyak RM100,” katanya dalam ucapan penggulungan kementerian di Persidangan Dewan Undangan Sarawak (DUS) di sini hari ini.

Menurut Sikie, kerajaan telah membelanjakan sejumlah RM86.6 juta setahun untuk tujuan pembayaran gaji ketua masyarakat serta elaun ketua kaum.

Katanya, jumlah ini melibatkan peningkatan sebanyak RM12.5 juta iaitu 15 peratus berbanding tahun 2020.

Setakat ini, terdapat sejumlah 671 orang Ketua Masyarakat dan 6,921 orang Ketua Kaum di seluruh Sarawak.

“Seramai 41 orang Temenggong dengan gaji permulaan sebanyak RM1,600 sebulan dan kenaikan gaji tahunan (KGT) sebanyak RM40 setahun.

“Manakala 88 orang Pemanca dengan gaji permulaan sebanyak RM1,300 sebulan dan kenaikan gaji tahunan (KGT) sebanyak RM30 setahun;

“Seramai 542 orang Penghulu dengan gaji permulaan sebanyak RM1,100 sebulan dan kenaikan gaji tahunan (KGT) sebanyak RM20 setahun.

“Dan 6,921 orang Ketua Kaum dengan elaun sebanyak RM900.00 sebulan,” kata Sikie. — DayakDaily

Advertisement