Kerajaan Sarawak digesa jangan sisihkan Bumiputera Melayu Melanau dalam hak tuntutan tanah

Parti Pesaka Bumiputera Bersatu logo
Advertisement

KUCHING, Julai 8: Setiausaha Agung Pemuda Parti Pesaka Bumiputera Bersatu (PBB), Hamzah Brahim mengingatkan kerajaan Sarawak supaya turut memperjuangkan hak untuk kaum pribumi serta Bumiputera lain seperti Melayu dan Melanau.

Menurut beliau, kerajaan negeri yang dipilih menerajui Sarawak diberikan mandat oleh semua kaum termasuk Melayu dan Melanau, justeru kaum-kaum ini juga berhak diberikan hak berkaitan.

“Kita perlu bertindak dari sekarang supaya keyakinan kaum Melayu dan Melanau terhadap pemimpin yang mereka angkat untuk menjaga kepentingan mereka tidak terhakis,” katanya menerusi satu kenyataan.

Advertisement

Beliau menyatakan demikian bagi merujuk mengenai pindaan Kanun Tanah Negeri yang akan dibentangkan pada persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) bermula esok (Julai 9), yang dijangka mampu menyelesaikan masalah tanah Hak Adat Bumiputera (NCR) berkaitan Pemakai Menoa dan Pulau Galau.

Justeru, beliau menegaskan adalah sewajarnya kaum Melayu dan Melanau turut menuntut hak untuk kaum mereka seperti kaum Dayak.

“Kita tidak menyalahkan kaum Dayak atas tuntutan yang dibuat kerana ia adalah hak mereka yang sewajarnya diperjuangkan.

“Tetapi kenapa kita (Melayu/Melanau) tidak melakukan tindakan sama? Kaum Melayu dan Melanau juga ada hak ke atas sungai dan muara laut.

“Kita wajar menuntut hasil dari laut, minyak dan sebagainya, apa lagi banyak kampung-kampung Melayu yang sudah wujud sejak sekian lama terutama di kawasan pedalaman,” katanya.

Sehubungan itu, beliau menyeru dan mencabar para pemimpin Melayu dan Melanau serta kaum lain supaya bangkit dan bertindak bagi menjaga kepentingan serta hak yang mungkin akan hilang sehingga tiada apa yang akan diwarisi anak cucu mereka akan datang.

“Jangan sampai kita dihambat dan kuasa yang kini ditangan kita ditarik balik oleh penyokong kita sendiri, apabila mereka sudah hilang kepercayaan kepada kita,” tegasnya. — DayakDaily

Advertisement