Kerajaan Sarawak bayar pampasan setelah Pelabuhan Bintulu diserahkan

Wan Junaidi (empat dari kanan) dan Abang Johari (empat dari kiri) di Perasmian Sambutan Hari Sarawak 2024 di Bintulu. Foto: JaPen
Advertisement

Oleh Chris Bishop

KUCHING, 22 Julai: Kerajaan Sarawak perlu membayar pampasan kepada Kerajaan Persekutuan setelah Pelabuhan Bintulu menjadi milik Sarawak.

Premier Sarawak Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg berkata, ia khususnya berkaitan pengambilan aset-aset.

Advertisement

“Pada Rabu minggu lepas Parlimen telah memansuhkan Akta Pelabuhan Bintulu (1981) dan ekoran ini Pelabuhan Bintulu akan diserahkan kepada Kerajaan Sarawak.

“Ini kerana Sarawak berhasrat untuk mengawal selia dengan lebih berkesan pelabuhan-pelabuhan yang terdapat di Sarawak melalui undang-undang Negeri ini sendiri.

“Iaitu satu ordinan yang telah digubal sebelum penubuhan Malaysia, Ordinan Lembaga Pelabuhan 1961,” katanya di Perasmian Sambutan Hari Sarawak 2024 di Bintulu malam ini.

Sambutan dihadiri Yang di-Pertua Negeri Tun Pehin Sri Dr Wan Junaidi Tuanku Jaafar serta isteri Toh Puan Fauziah Mohd Sanusi.

Tambah Abang Johari, kuasa bagi mengawal selia pelabuhan negeri turut termaktub di dalam Senarai Tambahan Negeri (Senarai IIA) di bawah Jadual Kesembilan Perlembagaan Persekutuan.

Justeru beliau terima kasih dan penghargaan kepada Kerajaan Perpaduan pimpinan Datuk Seri Anwar Ibrahim yang telah bersetuju untuk mengembalikan Pelabuhan Bintulu kepada Sarawak dengan memansuhkan akta tersebut.

Pelabuhan Bintulu diserahkan kepada Kerajaan Sarawak setelah 43 tahun
berada di bawah kuasa Kerajaan Persekutuan.

Hadir sama Timbalan Perdana Menteri Dato Sri Fadillah Yusof. — DayakDaily

Advertisement