Kerajaan prihatin dan bela nasib golongan pencari kerja

KUCHING, Jan 2: Jabatan Tenaga Kerja di bawah Kementerian Sumber Manusia (KSM) sentiasa menitikberatkan kepentingan rakyat, khususnya golongan pencari kerja dan para majikan melalui penyampaian pelbagai perkhidmatan berkaitan pekerjaan secara inklusif dan berimpak tinggi.

Perkhidmatan pekerjaan yang disediakan tersebut meliputi pendaftaran dan penempatan dalam pekerjaan kepada para pencari kerja, pemadanan pekerjaan, panduan menghadiri temuduga, penyediaan biodata atau resume pencari kerja.

Menteri Sumber Manusia, Datuk Seri Richard Riot Jaem dalam satu kenyataan semalam berkata, perkhidmatan lain adalah seperti penganjuran pelbagai aktiviti bersama rakyat melalui karnival-karnival kerjaya yang dijalankan melalui Bahagian Perkhidmatan Pekerjaan, Jabatan Tenaga Kerja atau lebih dikenali sebagai Pusat JobsMalaysia.

Jelas beliau, selain perkhidmatan JobsMalaysia di semua Pusat Transformasi Bandar (UTC), kerajaan kini telah mengorak langkah setapak lagi untuk mendekati rakyat melalui penyediaan perkhidmatan pekerjaan secara inklusif.

“Ia dengan membawa agensi-agensi lain yang menyediakan perkhidmatan pekerjaan termasuk khidmat nasihat berkaitan aspek latihan di bawah satu bumbung.

“Penglibatan agensi-agensi lain ialah seperti Skim Latihan 1Malaysia (SLIM), Unit Peneraju Agenda Bumiputra (TERAJU), Pertubuhan Keselamatan Sosial (PERKESO) dan Perbadanan Pembangunan Sumber Manusia Berhad (PSMB) bagi menyampaikan perkhidmatan tersebut berteraskan konsep kerjasama di bawah Strategi Lautan Biru Kebangsaan (NBOS),” katanya dalam satu kenyataan akhbar hari ini.

Riot menambah, seiring dengan initiatif tersebut, semua Pusat JobsMalaysia yang beroperasi di setiap UTC di seluruh negara kini diberi nama baru sebagai Pusat Sehenti Perkhidmatan Pekerjaan Kebangsaan.

Katanya, selain daripada perkhidmatan khidmat nasihat dan konsultasi mengenai pekerjaan dan latihan yang disediakan di semua Pusat Sehenti Perkhidmatan Pekerjaan Kebangsaan di UTC, perkhidmatan lain yang ditawarkan di pusat berkenaan meliputi pendaftaran pencari kerja, bimbingan kerjaya, pemadanan pekerjaan, temuduga terbuka oleh para majikan, pendaftaran, permohonan dan temuduga untuk penyertaan program SL1M, pendaftaran dan permohonan program TERAJU dan permohonan untuk kemudahan latihan melalui PSMB.

“Antara perkhidmatan lain yang turut disediakan oleh pusat sehenti itu khususnya pelaksanaan Skim Insuran Pekerjaan (SIP) berkuatkuasa Januari 2018 meliputi pendaftaran bagi kehilangan pekerjaan (‘loss of employment’), dan permohonan faedah kehilangan pekerjaan di bawah SIP,” katanya lagi.

Sementara itu, beliau memberitahu, penubuhan Pusat Sehenti Perkhidmatan Pekerjaan Kebangsaan di UTC merupakan satu initiatif bersepadu pihak kerajaan bagi mencapai agenda berterusan kerajaan, khususnya bagi menyediakan perkhidmatan pekerjaan dan latihan secara berstruktur bersesuaian dengan keperluan semasa.

Jelas beliau, pembangunan Pusat-Pusat Sehenti Perkhidmatan Pekerjaan Kebangsaan di UTC merupakan satu langkah yang tepat dalam menyampaikan perkhidmatan pekerjaan yang cekap dan berimpak tinggi kepada rakyat, khususnya bagi mereka yang ingin mendapatkan pekerjaan sama ada lepasan sekolah, graduan termasuk mereka yang telah kehilangan pekerjaan.

“Sehingga Nov 30 tahun lalu, seramai 183,433 pencari kerja telah berjaya ditempatkan oleh JobsMalaysia ke dalam pelbagai kategori pekerjaan melibatkan golongan pencari kerja terutamanya golongan para belia.

“Bilangan ini dijangka akan terus meningkat setiap tahun dengan terbentuknya rangkaian kerjasama yang aktif melalui pewujudan Pusat Sehenti Perkhidmatan Pekerjaan Kebangsaan di semua UTC di seluruh negara di samping peranan yang dimainkan dan disumbangkan oleh pengusaha agensi pekerjaan swasta yang berlesen di negara ini,” ujarnya lagi.

Beliau menambah, perkhidmatan pekerjaan yang diberi secara percuma ini disediakan di semua Pusat JobsMalaysia di seluruh negara dan melalui perkhidmatan atas talian melalui portal www.jobsmalaysia.gov.my. — DayakDaily