12 bayi bertuah terima ADAM50

Mohd Yusri (kanan) menyampaikan risalah ADAM50 dan buah tangan kepada seorang ibu yang melahirkan bayi bertuah 2018 di HUS.

KUCHING, Jan 2: Seramai 12 bayi yang lahir sempena sambutan tahun baru 2018 di Hospital Umum Sarawak (HUS) di sini antara bayi bertuah menerima Amanah Dana Anak Malaysia 2050 (ADAM50).

Majlis penyampaian insentif tabung permulaan RM200, kit simpanan dan hamper keperluan bayi itu disampaikan oleh Naib Presiden Jabatan Pengurusan Ejen dan Perhubungan Pelanggan, Amanah Saham Nasional Berhad (ASNB), Mohd Yusri Surip ketika mengadakan lawatan ke hospital berkenaan semalam.

Mohd Yusri yang diiringi Timbalan Pengarah Pengurusan HUS, Nurhidayah Mohd Taufik berkesempatan melawat semua bayi Tahun Baru 2018 di situ sekali gus menyampaikan insentif unit amanah tersebut sebagai dana tabungan permulaan bayi.


Para ibu bertuah yang menerima ADAM50.

ADAM50 yang dilaksanakan bermula Jan 1, 2018 dijangka memberi manfaat kepada kira-kira 2.8 juta bayi di seluruh negara.

Melalui ADAM50, semua bayi warganegara Malaysia yang dilahirkan bermula Jan 1, 2018 sehingga Dis 31, 2022 akan menerima unit insentif percuma sebanyak 200 unit.

Ia akan dikreditkan secara automatik selepas proses pendaftaran dilakukan oleh ibu bapa atau penjaga mereka ke dalam tabung unit amanah kendalian ASNB, anak syarikat milik penuh PNB.

Sementara itu, seorang wanita yang mewakili ibu kepada anak tahun baru 2018 berkata, dia secara peribadi amat menghargai insentif yang diberikan kerajaan menerusi PNB.

“Ribuan terima kasih kami kepada kerajaan menerusi program ADAM50 ini, malah ia rezeki tak disangka-sangka,” ujarnya. — DayakDaily