Kerajaan PH digesa mewujudkan semula Unit Khas Bergerak JPN

Larry Asap

KUCHING, Feb 11: Kerajaan Pakatan Harapan pusat digesa agar mewujudkan semula Unit Khas Bergerak Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) bagi membantu mengumpul data tepat jumlah warganegara Malaysia yang belum mempunyai Sijil Lahir dan Kad Pengenalan.

Gesaan itu dibuat oleh pengerusi protem DAP Bukit Goram selaku naib pengerusi Pemuda DAP Sarawak Larry Asap.

Menurutnya, Unit Khas Bergerak ini pernah diwujudkan suatu ketika dahulu dan memberi impak positif kepada penyelesaian isu ketiadaan sijil lahir dan kad pengenalan khususnya di luar bandar.

“Saya juga menggesa agar kerajaan Pakatan Harapan hari ini bekerja sama dengan pemimpin tempatan seperti penghulu dan ketua-ketua kampung bagi menyelesaikan isu ini.

ABANG JOHARI

“Mereka seharusnya dapat diberi peranan dalam membantu JPN mengesahkan status kelahiran dan kewarganegaraan memandangkan mereka amat dekat dengan rakyat yang mempunyai masalah ketiadaan sijil lahir dan kad pengenalan ini,” kata Larry dalam satu kenyataan hari ini.

Larry menambah, Unit Khas Bergerak seterusnya dapat bertindak dalam membantu dan menasihatkan para pemohon mengenai prosedur terkini cara-cara permohonan pendaftaran lewat sijil kelahiran dan kad pengenalan yang mungkin tidak difahami atau diketahui para pemohon.

“Parlimen Kapit khususnya amat memerlukan Unit Khas Bergerak ini agar para penduduk yang tinggal di kawasan pedalaman dapat dicapai selain membantu meringankan beban kewangan mereka berulang-alik ke pekan Kapit dari kawasan rumah panjang mereka yang berada di hulu sungai,” tambahnya. — DayakDaily