KUCHING, 24 Mei: Kerajaan mempertimbangkan keputusan untuk melanjutkan Skim Harga Maksimum Keluarga Malaysia (SHMKM) yang dijadualkan tamat pada 4 Jun depan.
Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) Dato Sri Alexander Nanta Linggi berkata, ia sebagai keprihatinan dalam memastikan rakyat tidak tertekan dengan isu kos sara hidup yang tinggi.
“Memang skim harga maksimum tamat pada 4 Jun, jadi kami masih mempertimbangkannya.
“Sekarang kajian dilakukan, kita tak boleh buat keputusan dengan tergesa-gesa supaya kita tidak menyusahkan mana mana pihak.
“Ada masa lagi, kami (kementerian) dalam proses untuk membuat keputusan,” katanya ketika ditemui di Bukit Jalil hari ini, menurut satu kenyataan.
Berhubung keputusan kerajaan memansuhkan AP dan eksport ayam, Nanta berkata, ia menerima pelbagai reaksi khusus dari pihak industri.
Katanya, pemansuhan AP agak positif serta diterima baik oleh pelbagai pihak.
Maka katanya, keputusan itu diharap dapat menangani masalah kekurangan bekalan dan harga ayam.
“Tetapi keputusan tersebut agak mengecewakan di pihak industri khususnya mereka yang mengeksport.
“Kita bagi sehingga Jun ini dikuatkuasakan, sudah tentu mereka terkesan,” katanya.
Menurut Nanta, kerajaan terdesak membuat keputusan itu bagi memastikan bekalan ayam dalam negara mencukupi.
“Kita perhatin terhadap rakyat kita sendiri, kita jaga kepentingan rakyat serta menampung permintaan dalam negeri.
“Keadaan ini tidak selama lamanya, apabila bekalan cukup kita boleh benarkan mereka eksport semula,” ujar Nanta. — DayakDaily