Kartel ayam: MyCC siasat semua pemain industri ayam — Nanta

Dato Sri Alexander Nanta Linggi

KUCHING, 24 Mei: Pihak Suruhanjaya Persaingan Malaysia (MyCC) telah memulakan penyiasatan terhadap kesemua pemain industri ayam di seluruh Malaysia dari peringkat huluan hingga hiliran.

Menurut Menteri Perdagangan Dalam Negeri Dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) Dato Sri Alexander Nanta Linggi, ia mengenai laporan bahawa wujud kartel yang mengawal harga dan pengeluaran ayam.

“Berdasarkan punca kuasa yang telah diperuntukkan melalui Akta Persaingan 2010, pihak MyCC telah menubuhkan pasukan khas pada awal Februari 2022.


“Ia untuk menyiasat dakwaan terdapatnya pelakuan antipersaingan merangkumi perjanjian anti-persaingan atau/dan penyalahgunaan kedudukan dominan dalam pasaran yang boleh meningkatkan harga-harga barangan dalam pasaran industri ayam,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Tambah Nanta, penyiasatan dijangka akan tamat pada akhir Jun 2022.

Sebarang penemuan daripada penyiasatan akan dibentangkan kepada anggota-anggota suruhanjaya yang bertindak sebagai sebuah badan separa kehakiman yang mempunyai kuasa memutuskan sama ada terdapat pelanggaran terhadap Seksyen 4.

“Sekiranya didapati tuduhan kartel itu mempunyai asas yang kuat, maka pihak MyCC dijangka mengeluarkan Keputusan Cadangan, di bawah Seksyen 36 Akta yang sama.

“Kemudiannya, pihak yang disiasat itu akan diberi ruang untuk mempertahankan diri mereka melalui sesi representasi bertulis dan lisan sebelum suruhanjaya membuat keputusan muktamad,” ujar Nanta.

Jelas beliau, jika mereka didapati melanggar Seksyen itu, mereka boleh dikenakan penalti kewangan sehingga 10 peratus dari jualan produk atau perkhidmatan mereka selama mana pelanggaran itu berlaku. — DayakDaily