Kerajaan Persekutuan digesa pertimbang bayaran balik kos Pembinaan Jambatan Igan, Rambungan dan Batang Lupar

Ahmad Johnie Zawawi (file pic)

KUCHING, 22 JULAI: Kerajaan Persekutuan diharap dapat membayar balik kos pembinaan Jambatan Igan, Jambatan Rambungan dan Jambatan Batang Lupar yang ditanggung Kerajaan Negeri.

MP Igan Ahmad Johnie Zawawi berkata, Kerajaan Persekutuan terdahulu pernah meluluskan peruntukan untuk pembinaan jambatan tersebut sebelum diambil alih Kerajaan Negeri susulan keputusan Kerajaan Pakatan Harapan(PH) untuk tidak meneruskan projek.

“Kos pembinaan Jambatan Batang Lupar ketika itu dianggarkan RM1 bilion dan Kerajaan Persekutuan bersetuju menanggung separuh kos pembinaan.


“Saya ingin mencadangkan supaya Kerajaan Persekutuan membayar balik kos sama bagi pembinaan ketiga-tiga jambatan berkenaan kepada kerajaan negeri kerana mengambil kira pelaksanaan jambatan berkenaan adalah janji Kerajaan Persekutuan kepada rakyat Negeri Sarawak,” katanya pada perbahasan di parlimen semalam.

Ahmad Johnie turut menyentuh isu sekolah daif di sekolah termasuk yang perlu diberi perhatian dengan segera.

Di kawasan di Parlimen Igan jelas beliau, terdapat banyak sekolah yang dikategorikan sekolah daif termasuk SK Ulu Daro, SK Kuala Matu, SK Kampung Pangtray, SK Kampung Nangar, SK Orang Kaya Segunim, SK Orang Kaya Selair, SK Kampung Sawai, SK Sekaan Kecil, SK Bruan Mapal, SK Sungai Pasin, SK Batang Lassa, SK Kampung Sok, SK Nangga Semah dan SK Sebena.

“Saya juga mohon supaya peruntukan tambahan diberikan bagi pelaksanaan sekolah daif di Sarawak supaya dapat dibina semula dan pada masa sama, pembinaannya haruslah dipercepatkan tanpa perlu melalui terlalu banyak kerenah birokrasi,” katanya.

Dalam pada itu, Ahmad Johnie juga menggesa supaya projek Lebuhraya Pan Borneo Sarawak yang tergendala dan tertangguh akibat tindakan membatalkan perjanjian Rakan Pelaksana Projek (PDP) diteruskan segera.—DayakDaily