Kerajaan perkenal pelan pemulihan usahawan pasca Covid-19 dengan peruntukan RM373 juta

Dato Sri Dr Wan Junaidi Tuanku Jaafar

KUCHING, 2 Mei: Kementerian Pembangunan Usahawan dan Koperasi telah memperkenalkan pelan pemulihan usahawan pasca Covid-19 untuk membantu Perusahaan Kecil dan Sederhana (PKS) dan Mikro dengan peruntukan RM372.845 juta.

Menterinya, Datuk Seri Wan Junaidi Tuanku Jaafar, berkata pelan tersebut bertujuan memastikan kelestarian serta pemulihan operasi perniagaan usahawan yang terjejas akibat penularan wabak Covid-19.

“Pelan ini akan dilaksanakan dalam dua fasa, iaitu Fasa 1 mulai bulan Mei hingga Disember 2020, dan Fasa 2 mulai Januari hingga Mei 2021.


“Sebanyak enam strategi yang mengandungi 30 inisiatif yang digubal untuk kumpulan sasar yang telah dikenalpasti,” katanya menerusi kenyataan media hari ini.

Wan Junaidi turut memaklumkan bahawa sehingga 30 April, sebanyak 17,145 permohonan Skim Pembiayaan Pemulihan Perniagaan Sektor Mikro (CBRM) telah diterima.

Daripada jumlah tersebut, katanya 4,981 permohonan telah diluluskan dengan jumlah RM41.9 juta.

Pada 16 April, kementerian melalui agensinya, Tekun, telah mewujudkan permohonan secara atas talian (online) untuk CBRM.

Selain itu, tambah Wan Junaidi, sehingga 26 April, Bank Negara Malaysia telah meluluskan sebanyak RM4.5 bilion Dana Pinjaman Mudah PKS kepada 8,500 PKS dan merupakan peningkatan daripada RM2.7 bilion untuk 5,000 PKS.

Bank Negara Malaysia, katanya, telah mengumumkan penambahan peruntukan kepada Kemudahan Bantuan Khas (SRF), daripada RM2 bilion kepada RM5 bilion bagi membantu lebih banyak PKS yang terjejas akibat wabak Covid-19.

Dalam pada itu, tambah Wan Junaidi, kementerian menerusi agensi dibawahnya juga sedang melaksanakan beberapa langkah di sepanjang perintah kawalan pergerakan (PKP).

Antaranya ialah penyediaan pembiayaan dengan anggaran peruntukan berjumlah RM786.5 juta oleh Bank Rakyat, SME Bank, Tekun dan Suruhanjaya Koperasi Malaysia (SKM) kepada 4,133 penerima yang terdiri daripada individu dan usahawan.

“Penangguhan bayaran balik pembiayaan oleh Tekun kepada 209,479
usahawan berjumlah RM324 juta.

“Bantuan pembiayaan oleh Tekun sehingga maksimum RM10,000 untuk seramai 2,000 orang usahawan mikro dan informal dengan kos berjumlah RM20 juta.

“Penjadualan semula pinjaman pembiayaan oleh Tekun untuk 1,000 orang usahawan mikro dengan kos berjumlah RM 10 juta, moratorium oleh semua agensi di bawah kementerian untuk 3,119,570 penerima manfaat dengan kos berjumlah RM13.14 bilion,” katanya.

Inisiatif lain adalah penangguhan bayaran balik pembiayaan tabung model pusingan (TMP-JPK) oleh SKM kepada 1,000 koperasi berjumlah RM99 juta.

Penangguhan bayaran balik pembiayaan individu oleh Koperasi Perbankan untuk sebanyak 1,254,339 koperasi dengan kos berjumlah RM5,673,573,852.

Pengurangan caruman Kumpulan Wang Rizab Statutori daripada 15 peratus kepada 8 peratus daripada untung bersih berjumlah RM333 juta.

Penangguhan pendepositan ke Akaun Deposit Koperasi (ADK) kepada semua koperasi bernilai RM600 juta.

Pengecualian atau Pengurangan Sewa Bangunan Dengan Anggaran Kos RM12.4 juta, latihan Keusahawanan/Perniagaan atas talian dengan anggaran peruntukan berjumlah RM600,000.

Memberi kelulusan bersyarat pendaftaran Sijil Taraf Bumiputera kepada 705 kontraktor bumiputera dan sumbangan wang zakat berjumlah RM4.47 juta.

Pelaksanaan enam program berimpak tinggi, tambah Wan Junaidi, melibatkan anggaran kos pelaksanaan berjumlah RM15,585,000 dan memberi manfaat kepada 6,000 orang yang terdiri daripada graduan, bakal usahawan, usahawan, koperasi dan startups termasuk masyarakat umum. — DayakDaily