Kerajaan negeri teruskan kerja penyukatan kampung tradisi

Awang Tengah bersama penerima surat hak milik tanah di Kampung Sundar.

Oleh Dean Adam

LAWAS, Ogos 26: Kerajaan negeri akan meneruskan program penyukatan kampung tradisi dan ia telah dilaksana sejak dulu lagi.

Timbalan Ketua Menteri, Datuk Amar Awang Tengah Ali Hasan berkata, terdapat banyak kampung tradisi di negeri ini dan kerja-kerja penyukatan akan dilaksanakan secara berperingkat.


“Kita (kerajaan negeri) akan meneruskan program ini, dahulu kampung tradisi adalah di bawah komunal rizab.

“Namun, sekarang dikeluarkan surat hak milik di bawah Seksyen 18 Kanun Tanah Negeri dan ini bererti tidak perlu membayar penyukatan, cukai dan tiada premium, semuanya percuma,” katanya dalam Majlis Perasmian Pecah Tanah Dan Skim Pembesaran Kampung Sundar.

Awang Tengah menambah, mana-mana kampung yang belum disukat boleh membuat permohonan menerusi ketua masyarakat.

Kata beliau, kerajaan negeri akan meneruskan penyukatan tanah adat bumiputera dan ia sudah dijalankan sejak tahun 1960an lagi melalui settlement program.

“Kerajaan negeri mahu mempercepatkan proses penyukatan tanah ini dan sejak 2010 pihak Jabatan Tanah dan Survei sudah melaksanakan penyukatan ini secara inisiatif baru.

“Untuk tujuan itu, kerajaan negeri telah memperuntukkan dana sebanyak RM40 juta. kita sudah mengarahkan pihak jabatan melakukan kerja-kerja penyukatan yang akan dilakukan secara berperingkat,” katanya. — DayakDaily