Kerajaan negeri sentiasa bantu rakyat, 14 keluarga terima kunci rumah PPRT

Dr Annuar (tujuh dari kanan) menyerahkan kunci sebagai simbolik penyerahan rumah PPRT di Kpg Bahagia Jaya Teku.
Advertisement

SIBU, Ogos 25: Seramai 14 buah keluarga di Kpg Bahagia Jaya Teku yang terjejas akibat rumah mereka musnah terbakar tahun lalu menerima kunci rumah Program Perumahan Rakyat Termiskin (PPRT) di sini hari ini.

Projek rumah PPRT yang mula dibina sejak Oktober 2017 telah siap sepenuhnya pada 14 April lepas.

Menteri Muda Perumahan dan Kesihatan Awam Sarawak, Dr Annuar Rapaee, berkata seramai 23 keluarga lagi juga akan menerima bantuan rumah dalam konsep sama bagi tempoh enam hingga lapan bulan akan datang.

Advertisement

Katanya, projek pembinaan rumah itu jelas menunjukkan keprihatinan kerajaan negeri dalam membantu rakyat yang memerlukan bantuan akibat terjejas daripada musibah.

“Kerajaan negeri yang dipimpin Gabungan Parti Sarawak (GPS) sentiasa berusaha membantu rakyat tanpa mengira fahaman politik.

“Kita yakin dengan pemberian kunci rumah ini akan melegakan keluarga yang kehilangan tempat tinggal akibat musnah terbakar,” katanya hari ini

Dr Annuar yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Nangka menambah, projek PPRT yang dibina sejak Oktober tahun lepas membabitkan peruntukan berjumlah RM952,000.

Jelasnya, kerja-kerja pembinaan rumah PPRT agak lambat disiapkan memandangkan proses mendapatkan tanah di Kpg Bahagia Jaya Teku memerlukan masa.

“Proses mendapatkan tanah ini perlu kerana salah satu syarat untuk membina rumah PPRT adalah penerima perlu mempunyai lot tanah sendiri,” ujarnya. — DayakDaily

Advertisement